Para penyokong kedua-dua parti itu akan berkumpul di Kompleks Pas negeri di sini, sebelum bergerak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas pada pukul 11 malam esok.

Perlepasan konvoi tersebut dijangka disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Izan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli memberitahu, lebih 20 buah bas disediakan bagi membawa penyokong kedua-dua parti itu ke perhimpunan berkenaan.

Katanya, selain menaiki bas, dijangka lebih ramai penyokong Pas khususnya akan pergi ke Kuala Lumpur menyertai himpunan bersejarah itu dengan kenderaan sendiri.

“Saya menasihatkan para peserta supaya berhati-hati ketika perjalanan dan menjaga adab ketika perhimpunan nanti bagi mengelak sebarang provokasi.

“Himpunan nanti akan menjadi bukti bagaimana umat Islam bersatu apabila hak dan agama mereka cuba diusik oleh pihak-pihak tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada 2 Disember lalu, kedua-dua parti itu di negeri ini mencipta sejarah apabila buat pertama kali pemimpin-pemimpin tertingginya berkongsi satu pentas dalam himpunan rakyat Perlis bantah ICERD di Kompleks Pas negeri.

Lebih istimewa perhimpunan tersebut juga disertai oleh dua seteru politik sejak sekian lama iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Malah Hashim ketika berucap pada himpunan tersebut turut mengakui bahawa beliau sama sekali tidak pernah menyangka akan berada sepentas dengan Shahidan.

Namun atas kehendak Allah, kata Hashim, individu yang pernah menjadi musuh selama ini akhirnya dapat mengenepikan segala perbezaan serta persengketaan untuk bersatu demi kepentingan agama Islam dan Melayu. - UTUSAN ONLINE