Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, cuti peristiwa itu memberi peluang kepada rakyat negeri ini turun beramai-ramai menyuarakan bantahan terhadap cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

ICERD

BARISAN pemimpin UMNO dan Pas mengangkat tangan tanda kesepakatan dalam Ceramah Perdana Membantah ICERD di Kota Bharu malam tadi. Gambar Ghazali Basri.- UTUSAN ONLINE

Sehubungan itu katanya, UMNO berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan pimpinan kerajaan negeri kerana peka dengan kebajikan rakyat yang terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Kuala Lumpur dengan cara mengumumkan cuti peristiwa tersebut.

“Kelantan boleh diibaratkan seperti benteng agama dan lambang kekuatan bangsa Melayu di negara ini. Kita merasakan ICERD mencabar Islam dan orang Melayu, jadi kita mahu turun menyertai perhimpunan.

“Tidak perlulah mempertikai keputusan kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad ini. Cuba lihat dalam aspek positif yakni isu tersebut dianggap amat serius di Kelantan. Rakyat bersama kerajaan negeri nekad mahu menjayakan perhimpunan ummah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Ceramah Perdana Praperhimpunan Membantah ICERD di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Selepas Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 9 Disember, iaitu sehari selepas perhimpunan membantah ICERD #DaulatHimpunan812 yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka, banyak pihak mempertikai kewajarannya kerana menganggap alasannya terlalu remeh.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas dan UMNO sebagai parti orang Islam dan Melayu terbesar di negara ini akan memainkan peranan menggerakkan ahli masing-masing ke ibu negara bermula hari ini bagi menjayakan #DaulatHimpunan812, esok.

Katanya, berdasarkan reaksi positif di seluruh negara, sasaran mengumpulkan sekurang-kurangnya 500,000 peserta dalam perhimpunan raksasa tersebut mampu dicapai. - UTUSAN ONLINE