Menurut Vida, lagu tersebut yang siap sepenuhnya seminggu sebelum Syawal itu dibuat bagi memeriahkan lagi suasana sempena Piala Dunia FIFA 2018.

Katanya, rakaman muzik video lagu tersebut juga dijalankan di sekitar Ipoh dan Stadium Perak.

"Sempena musim Piala Dunia ini, saya mahukan lagu yang rancak, ceria dan segar yang dapat membuatkan peminat tegar bola sepak merasai semangat dan kehangatan sepanjang perlawanan itu berlangsung.

"Dari segi pembikinan muzik video pula, ia turut menampilkan Cik B dan Kacak serta gerak tari yang pasti menarik perhatian ramai," katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran lagu tersebut di Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini hari ini.

Menurut beliau, gerak tari untuk lagu tersebut diciptanya sendiri sambil dibantu dua anaknya iaitu Cik B dan Kacak serta rakan lain.

"Walaupun saya bukan penari mahupun penyanyi tetapi saya berusaha untuk memberikan yang terbaik supaya semua yang mendengar dan menonton muzik video lagu ini suka dan gembira.

"Saya mahu dalam tempoh lebih kurang empat minit, mereka enjoy. Sebab itu saya mahukan konsep ceria dan berwarna-warni dalam muzik video ini," katanya yang memberitahu kos penghasilan muzik video itu kurang RM100,000.

Muzik video lagu ciptaan Cat Farish, Illegal dan Mimy Fly serta lirik ditulis Cat Farish, Mimy Fly dan Mohd. Hilmi itu boleh ditonton menerusi laman Youtube bermula pukul 4.30 petang hari ini. - UTUSAN ONLINE