Demikian rayuan pengasas Vida Beuty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyiarkan iklan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat, tahun lalu.

Majistret Mohd. Azali Ibrahim menjatuhi hukuman denda RM4,800 atau penjara lima bulan terhadap Hasmiza, 46, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia menjawab secara ringkas, “bagi memudahkan semua pihak, saya mengaku salah” atas tuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Hasmiza didakwa menyiarkan suatu iklan dalam bentuk wawancara dalam rancangan Jom Singgah di TV3 yang merujuk kepada artikel iaitu Pamoga yang direncanakan untuk mempengaruhi penggunaan artikel tersebut sebagai ubat atau penyembuh bagi maksud merawat kulit melecur, meredakan sakit-sakit sendi dan melegakan sakit lutut seperti yang dinyatakan dalam Jadual Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Ibu kepada dua cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, dekat sini, antara pukul 1 petang dan 1.30 petang, 18 Julai tahun lalu.

Jutawan kosmetik itu didakwa mengikut Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan)1956 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman den­da maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Bahagian Penguatkuasaan Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan, Amran Abu Bakar memohon hukuman berat atas alasan usahawan itu mempunyai beberapa kesalahan lampau.

“OKS merupakan seorang public figure, sepatutnya dia memberi contoh teladan yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Hasmiza yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya mengulangi testimoni daripada perkongsian pelanggan mengenai keberkesanan produk ber­kenaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 2 Ogos tahun lalu, cawangan pegawai penguat kuasa Farmasi Perak telah mendapat arahan untuk menjalankan siasatan berhubung penyiaran iklan ter­sebut dan Setiausaha Lembaga Iklan Ubat mengesahkan bahawa iklan itu tiada kelulusan daripada lembaga berkenaan.

Hasmiza yang kini terkenal dengan lagu I Am Me dibebaskan setelah membayar denda berkenaan.

Hasmiza yang hadir bersama anak lelaki bongsunya dan pengawal peribadi sebelum itu tiba di pekarangan kompleks mahkamah kira-kira pukul 11.15 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih kelihatan tenang dan bersahaja ketika pemberita dan jurugambar mengambil gambar serta videonya sebelum masuk ke bilik mahkamah.