Beliau sepatutnya bersara wajib pada 6 Jun lalu tetapi telah disambung kontrak hingga hari ini dan tempat beliau akan dipangku oleh Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Amar Singh dalam ucapan persaraannya berkata, berkhidmat dalam polis adalah satu kerjaya yang tidak akan dilupakan dan disifatkan sebagai kerjaya yang terbaik.

“Jika diberi pilihan sama ada untuk menjadi polis atau kerja lain selepas ini, saya akan tetap memilih untuk berkhidmat bersama PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan lain.

Amar Singh dilahirkan pada 6 Jun 1958 di Kinta, Perak dan menyertai PDRM pada 27 Februari 1983 sebagai Kadet Penolong Peguasa Polis sebelum ditugaskan di beberapa jabatan.

Amar Singh juga merupakan pegawai kanan polis pertama berbangsa Punjabi dilantik menjawat jawatan Komandan Pulapol, Kuala Lumpur dan Pengarah JSJK.

Antara kes besar yang pernah dikendalikan termasuklah kes kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah dan skandal penyelewangan syarikat 1MDB. - UTUSAN ONLINE