Undang Luak Johor, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah berkata, datuk adat sepatutnya menjadi rujukan kepada pasangan suami isteri yang bermasalah untuk mendapatkan nasihat sebelum membawa kes ke mahkamah.

Menurut Muhammed, statistik menunjukkan krisis penceraian di negara ini terutama dalam kalangan orang Melayu agak kritikal.

"Dulu-dulu bila nak kawin datuk adat ini menjadi rujukan sebelum pernikahan berlangsung. Perbincangan dilakukan bersama-sama anata datuk adat dengan anak-anak buahnya bagaimana majlis tersebut akan dilaksanakan.

"Justeru sekiranya ada masalah dalam perkahwinan, datuk adat ini sepatutnya dirujuk untuk mendapatkan khidmat nasihat," kata Muhammed yang ditemui selepas melakukan kunjungan hormat ke ibu pejabat Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Utusan di sini hari ini.

Muhammed dilantik sebagai Undang Luak Johol ke-15 pada 15 Disember oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Undang Luak Johor merupakan ketua agama dan ketua adat di Johol.

Cadangan untuk menjadikan datuk adat sebagai penasihat perkahwinan yang bermasalah akan dibincangkan dengan datuk-datuk adat dalam masa terdekat.

"Kita tidak mahu kes-kes penceraian terus meningkat kerana ia memberi impak yang besar terutama kepada anak-anak. Apabila institusi keluarga porak peranda dan kucar-kacir ini akan menyebabkan negara tidak selesa.

"Banyak anak-anak yang bermasalah ini bila ditemuramah puncanya dari krisis keluarga. Kenapa tidak datuk-datuk adat ini menjadi kaunselor dan mengambil tanggung-jawab agar tidak berlaku penceraian?" tegas Muhammed.

Luak Johol merangkumi daerah Kuala Pilah, Tampin dan Jempol.-UTUSAN ONLINE