Dato' Maharaja Inda, Mohd. Nordin Mansor berkata, aduan itu dibuat di Balai Polis Simpang Durian dekat sini pukul 11.25 pagi tadi selepas beliau membaca satu laporan di akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Ketua Adat Luak Jelebu Terus Dipertikai'.

"Laporan akhbar itu menyebut mengenai seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai Dato' Maharaja Inda sedangkan saya sebenarnya adalah penyandang jawatan itu yang mendapat pengesahan daripada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

"Perbuatan itu telah mengelirukan masyarakat adat di sini dan saya difahamkan ia mempunyai kaitan dengan majlis yang diadakan oleh seorang lagi Dato' Lembaga di Kampung Kemin, di sini petang esok," katanya ketika dihubungi hari ini.

AHMAD RAZIN AMINUDDIN
AHMAD RAZIN

Sementara itu, Waris Maharaja Inda, Ahmad Razin Aminuddin mendakwa, pihak yang hendak mengadakan majlis di Kampung Kemin itu telah mengelirukan masyarakat adat di sini menggunakan satu surat yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Dr. Razali Ab. Malik yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 28 November lalu.

Katanya, mereka membuat tafsiran yang salah seolah-olah dewan berkenaan telah bersetuju mengenai pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16.

"Ayat yang digunakan dalam surat itu sangat jelas iaitu dewan itu 'memulangkan semula kepada Luak Jelebu bagi memulakan semula proses mencari mata benih calon penyandang pesaka Undang Luak Jelebu ke-16'.

"Ini bermakna proses melantik Undang Luak Jelebu yang baharu perlu dimulakan dari awal sesuai dengan amalan adat di luak tersebut. Tiada dinyatakan dalam surat berkenaan persetujuan melantik mana-mana individu sebagai Undang Luak yang baharu," ujarnya.

Sehingga kini, tambahnya, proses pencarian benih masih belum dimulakan oleh penyandang pusaka Undang Luak Jelebu daripada Waris Kemin.

Beliau berkata, masyarakat adat di sini kesal dengan perbuatan cuba mengelirukan mereka dan pihak berkuasa campur tangan menghentikan salah laku seperti itu. - UTUSAN ONLINE