ABU BAKAR ATAN
ABU BAKAR ATAN 

Demikian luahan seorang pengunjung ketika menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Putrajaya yang kini berhadapan masalah tempat letak kereta terhad sekali gus menyebabkan kesesakan di jalan masuk.

Tinjauan Utusan Malaysia pada pukul 9 pagi mendapati, walaupun disediakan petak letak kenderaan, tetapi jumlah­nya tidak mampu menampung bilangan kenderaan pelawat, apatah lagi di sebelahnya terletak Institut Kanser Negara (IKN) yang juga merupakan tempat tumpuan orang ramai bagi menjalani rawatan.

Mungkin kerana terdesak, ada yang meletak kenderaan mereka di laluan masuk ambulans.

Menurut seorang pesara kerajaan Abu Bakar Atan, 65, kebiasaanya dia ke hospital tersebut seawal pukul 5 pagi semata-mata untuk mendapatkan petak letak kereta serta ingin mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Pak cik datang sini tiga bulan sekali untuk bawa isteri me­lakukan pemeriksaan, kalau terlambat sedikit sampai memang susah hendak dapat petak letak kereta.

HAFIZ KAMAL
HAFIZ KAMAL 

“Tetapi kalau sudah terlambat, memang berjam-jam saya cari ruang kosong, kadangkala tunggu dalam kereta sahaja sementara isteri selesai diperiksa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Nada sama disuarakan oleh seorang pekerja Hafiz Kamal, 27, yang memaklumkan semakin ramai penduduk di sini mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Hospital Putrajaya kerana kemudahannya bertaraf kelas pertama.

Sehubungan itu, dia mengesa pihak bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian berhubung masalah tersebut bagi meringankan beban orang ramai yang terpaksa menunggu lama untuk meletak kereta.

Seorang lagi pengunjung Abu Hakim Abdul Raof, 35, pula mencadangkan Kementerian Kesihatan menyediakan tempat letak kereta bertingkat seperti disediakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Serdang.

Katanya, sudah tiba masanya jalan penyelesaian dibuat pihak bertanggungjawab untuk mengelakkan kesesakan kenderaan sekali gus dapat meringankan beban khususnya warga emas dan wanita mengandung.

“Macam saya pada hari ini, terpaksa letak kereta jauh kerana tempat kereta disediakan sudah penuh sejak awal pagi lagi,” katanya.