Hal ini kerana pelaksanaan dasar baharu subsidi haji yang mengenakan caj penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900 disifatkan sebagai membebankan bakal haji.

Sehubungan itu, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan pihak Tabung Haji supaya memikirkan semula dasar baharu subsidi haji itu.

Jelas Amini Amir, keutamaan pertimbangan rayuan menunaikan haji juga harus diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan berada dalam keadaan darurat.

“Perkasa difahamkan caj penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900 berbanding caj lama yang hanya berjumlah RM9,880. Peningkatan bayaran sebanyak RM12,920 bererti tiada subsidi haji diberikan kepada mereka yang berjaya dalam rayuan pertama menunaikan haji.

“Ini adalah sesuatu yang tidak munasabah dan tidak berlaku dalam pentadbiran kerajaan terdahulu. Amalan terdahulu jumlah bayaran subsidi dikenakan pada RM9,980 sepatutnya dikekalkan dan tidak diusik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pengiring jemaah haji yang menunaikan ibadah itu lebih awal dari tahun peruntukan tidak lagi layak mendapat subsidi haji seperti yang disediakan sebelum ini. - UTUSAN ONLINE