Perdana Menteri berkata, ka­­­­lau dahulu, perkhidmatan mem­perbaharui pasport perlu mengambil masa sehingga 10 hari bekerja, kini cuma satu atau dua jam sahaja.

Malah jelasnya, kaun­ter imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga beroperasi pada setiap hujung ming­gu ke­cuali cuti umum.

“Bermula 2016, permohonan memperbaharui pasport juga boleh dijalankan secara dalam talian. Begitu juga permohonan MyKid dan MyKad yang dahulunya tempoh menunggu permohonan sehingga 30 hari berban­ding kini hanya mengambil masa 24 jam.

“Kaunter Jabatan Perdana Menteri (JPM) di UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) juga dibuka pada hujung minggu sehingga malam kecuali cuti umum. Ini bukan sahaja memudahkan orang ramai, malah mengelakkan kesesakan pada waktu puncak,” katanya menerusi blog, www.najibrazak.com.

Tambah Perdana Menteri, satu lagi aspek penting dalam kehidupan rakyat adalah rawatan ke­sihatan.

Jika dahulu katanya, pendu­duk di pedalaman terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital, namun kini Klinik Ber­gerak 1Malaysia sanggup me­redah hutan dan sungai semata-mata mahu memberi rawatan kepada orang ramai.

“Inilah yang saya katakan transformasi perkhidmatan awam iaitu usaha menyenangkan urusan orang ramai. Bukti kerajaan sentiasa meletakkan kebaji­kan dan keselesaan rakyat sebagai keutamaan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam akaun facebooknya, Najib berharap seluruh rakyat sentiasa mendoakan ke­sejahteraan umat Islam di Pa­lestin.

Perdana Menteri juga mengajak untuk bersama-sama memper­ingati perjuangan yang belum selesai di bumi bergolak itu.

“Salam Jumaat. Hari ini khutbah berkisar tentang perjuangan kita yang belum selesai di bumi Palestin.

“Saya harap kita semua terus mendoakan kesejahteraan umat Islam di sana dan kemenangan akan berpihak kepada umat Islam. Insya-Allah,” katanya.