Beberapa maklumat itu dimuat naik di blog najibrazak.com serta akaun Facebook dan Twitter beliau, yang menunjukkan jumlah peluang pekerjaan, nilai pendapatan yang berjaya ditingkatkan serta impak serta dasar-dasar yang memberi manfaat kepada penduduk di luar bandar, Sabah dan Sarawak.

Najib dalam muat naik itu turut berkongsi kejayaan Sharifah Dun yang pada awalnya menempuh kehidupan sukar akibat kegawatan ekonomi dan suaminya kehilangan pekerjaan, tetapi bangkit sebagai pengusaha perniagaan nasi lemak berpendapatan lebih RM1,000 sehari hasil bantuan serta inisiatif kerajaan.

“Daripada cuma RM70 di tangan, kini mempunyai perniagaan berjaya. Baca kisah kejayaan Puan Sharifah Dun dan ramai lagi,” tulis Perdana Menteri di akaun sosialnya hari ini.

Antara maklumat lain yang turut dikongsi Perdana Menteri ialah penciptaan lebih dua juta peluang pekerjaan baharu antara 2010 hingga 2017 kepada 14.5 juta hasil pelancaran beberapa projek berskala besar termasuklah transit aliran massa (MRT) dan Kompleks Bersepadu Petroleum di Pengerang Johor. - UTUSAN ONLINE