Memetik laporan portal Astro Awani, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pihaknya membantah kaedah tersebut kerana dibuat tanpa persetujuan pihak berkepentingan.

“MEF akan berhubung dengan PTPTN mengenai perkara ini. Sudah pasti perkara ini telah diumumkan PTPTN tanpa perbincangan dengan pihak majikan.

“Mereka perlu membuat perbincangan sebelum mengumumkan perkara sedemikian kerana akan menyebabkan kekeliruan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kaedah PGB tidak boleh dilakukan berdasarkan peratusan gaji yang diterima pekerja sebaliknya dipotong berdasarkan amaun tetap.

“Sebenarnya, saya merasakan lebih elok kalau pihak PTPTN mengatakan bahawa untuk mereka (peminjam) yang bergaji tahap sedemikian dengan amaun dipotong, jika dibandingkan dengan peratusan daripada gaji berkenaan.

“Kalau gaji itu berdasarkan amaun dan sebagainya. Kita tidak mahu ada kecelaruan dalam kalangan majikan dalam perkara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE