Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pada waktu ini, pihaknya sedang memuktamad­kan sama ada Darul Quran ini akan menjadi sebuah kolej universiti swasta atau milik kerajaan.

Biar apa pun pilihan itu, kata­nya, kerajaan tetap merancang untuk memartabatkan Darul Quran ke peringkat yang lebih tinggi dan sudah tentunya apabila dinaikkan taraf, program-program yang ditawarkan nanti adalah di peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah.

Walau belum lagi mewujudkan kolej universiti, menurut Jamil Khir, Darul Quran sudah pun mempunyai memorandum persefahaman dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan universiti Al-Azhar serta beberapa institusi lain.

“Di USIM, mereka memberi tempat untuk pelajar Darul Quran menyambung pengajian daripada peringkat diploma ke peringkat ijazah pertama dengan memberi kemudahan pemindahan kredit dalam bidang-bidang pengajian yang ditetapkan.

“Apabila Darul Quran menjadi kolej universiti, kemasukan pelajar baharu nanti akan sama seperti universiti awam yang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-25 serta sambutan Jubli Emas Darul Quran Jakim di Kuala Kubu Bharu, dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jakim merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Darul Quran, Tan Sri Othman Mustapha, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sebanyak 545 graduan meneri­ma skrol masing-masing dengan 35 daripadanya menerima Ijazah Sarjana Pengajian Quran dan Sunnah Jakim-USIM, 397 graduan program Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat dan 113 graduan lagi daripada program Pensijilan Tahfiz al-Quran.

Mengenai perancangan menaik taraf Darul Quran kepada kolej universiti itu, Jamil Khir memberitahu, keputusan bukan di peringkat Darul Quran dan Jakim sahaja tetapi pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Sudah tentunya kita tidak mahu menyerahkan sepenuhnya pengurusan dan pentadbiran Darul Quran kepada pihak lain. Kita masih mahu Jakim menjadi pengawal selia kepada Darul Quran yang sudah lebih 50 tahun kewujudannya ini,” ujarnya.