Selama di CDC, bekas Ketua Pramugara Malaysia Airlines (MAS) itu mengikuti latihan Career Direction Workshop (CDW), Train The Trainer (TTT) dan Pegawai Latihan Vokasional (VTO) bagi memantapkan dirinya dalam bidang kejurulatihan.

Hasilnya selepas menjalani ke­semua latihan itu, Harman Shah telah diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia sebagai Pakar Industri Negara dalam bidang penerba­ngan.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, CDC telah membuka jalan dalam membantunya memilih karier yang ingin diceburi selepas diberhentikan daripada MAS pada 30 Jun 2016.

Beliau berkata, bakatnya da­lam mengajar mula dicungkil ketika mengikuti kursus bersama CDC dan daripada situ, kemahirannya digilap.

“Latihan dan bimbingan yang disediakan CDC banyak membantu membentuk diri saya sebagai seorang tenaga pengajar profesional.

“Berbekalkan pengalaman ketika berkhidmat sebagai pramugara selama 21 tahun, saya kini mengajar kursus kru kabin di beberapa akademi penerbangan seperti dengan EduFly Aviation Academy dan Malaysian Aviation Academy (MAvA),” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini, baru-baru ini.

CDC ditubuhkan oleh Khaza­nah Nasional Bhd. (Khazanah) untuk menyokong peralihan kerjaya kakitangan MAS yang ditamatkan perkhidmatan menurut Pelan Pemulihan MAS 12 Perkara (PPM).

Menurut Harman Shah, bayaran yang diterimanya sebagai tenaga pengajar kira-kira RM100 untuk satu jam dan dalam sehari ada kalanya ditawarkan untuk mengajar selama lima jam.

Antara subjek yang diajarnya adalah tentang prosedur kese­lamatan dan kecemasan, terminologi penerbangan, penampilan diri, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya.

“Lain orang lain kebolehannya. Ada kawan saya pandai berniaga, maka mereka ambil kursus keusahawanan dengan CDC, saya pula suka mengajar maka saya ambil kursus menjadi tenaga pe­ngajar.

“Saya memilih untuk mengajar kursus kru kabin kerana hanya bidang ini yang saya mahir. Lagi pun penerbangan dah sebati de­ngan jiwa saya, anak sulung saya juga merupakan seorang pramugari dan kini berkhidmat dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB),” katanya yang kini lebih dikenali sebagai 'Cikgu Harman’.

Mengimbas semula saat-saat diberhentikan kerja dengan MAS, Harman Shah mengakui berasa sedikit kecewa kerana menyangkakan dapat terus ber­khid­mat dengan syarikat pener­bangan negara itu sehingga bersara.

Beliau bagaimanapun reda dengan ketentuan tersebut dan mengambil sikap positif demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Sekarang saya lebih banyak masa dengan keluarga berbanding dahulu. Tahun ini hari raya pertama saya dapat bersama keluarga. Sebelum ini peluang itu jarang saya perolehi.

“Kepada rakan-ra­kan senasib dengan saya, saya sarankan ambil sahaja peluang yang ada di hadapan. Jangan terlalu memi­lih kerana selagi ada u­saha, pintu rezeki akan sentiasa terbuka,” ujarnya.