Sepanjang 60 tahun, hubungan yang terjalin tersebut berjalan dengan baik tanpa ada sebarang masalah malah diperkukuhkan lagi sebagai rakan dagangan antarabangsa yang membantu meningkatkan ekonomi masing-masing.
Duta Sweden ke Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt berkata, beliau ternyata bertuah dan berbangga dapat berkhidmat di Malaysia yang disifatkan beliau sebagai sebuah negara yang cukup indah serta rakyatnya yang dapat hidup bersama dengan harmoni walaupun mempunyai pelbagai bangsa dan agama.
Kata Juhlin-Dannfelt kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan jurugambar, AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN, hubungan Malaysia-Sweden perlu diperkukuhkan lagi, bukan hanya bertumpu kepada rakan dagangan sahaja tetapi juga pelbagai bidang lain perlu diteroka kedua-dua buah negara demi kepentingan dan manfaat bersama.

 

UTUSAN MALAYSIA: Sejak menjadi Duta Sweden ke negara ini, apa pandangan anda terhadap Malaysia?

DAG JUHLIN- DANNFELT: Saya menjadi duta ke negara ini sejak dua tahun lalu iaitu bermula pada 1 September 2016. Ia merupakan satu pengalaman yang positif bagi saya.

Malaysia bukanlah asing bagi saya. Kali pertama saya berkunjung ke negara ini ialah pada 1986 ketika saya masih menjadi seorang pelajar.

Pada 2002, saya kembali ke negara ini bersama-sama keluarga untuk bercuti. Bagaimanapun, kehadiran kehadiran saya ke Malaysia pada 2016 lebih membanggakan kerana saya mewakili Sweden sebagai seorang diplomat.

Bagi saya, Malaysia adalah sebuah negara yang cantik, memiliki alam semula jadi yang indah, hutan hujan yang masih terpelihara dan pantainya yang mempesona. Rakyatnya pula terdiri daripada pelbagai kaum dan menjadi contoh kepada negara lain bahawa kepelbagaian etnik yang ada tidak menjadi penghalang untuk hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni.

Malaysia baru sahaja selesai menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-14, bagaimana anda melihat senario perubahan politik di negara ini?

Keputusan pilihan raya baru-baru ini jelas menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara yang benar-benar demokratik. Sesuatu demokrasi bukan hanya diukur melalui mengadakan pilihan raya tetapi juga kemampuan melaksanakan peralih­an kuasa secara aman.

Malaysia sudah berusia 61 tahun dan ini merupakan kali pertama pemerintahan (atau kerajaannya) bertukar ber­banding di Sweden di mana saya sendiri sebagai seorang penjawat awam telah berkhid­mat dengan kerajaan yang pelbagai sama ada pihak sosial demokratik, konservatif dan perubahannya berlaku setiap empat atau lima tahun.

Perkara berkenaan bukanlah baharu bagi kami tetapi bagi Malaysia, peralihan kuasa ini adalah satu pengalaman baharu. Ia adalah baik dan positif bagi setiap negara untuk melaluinya. Malaysia juga menjadi contoh yang baik bahawa kuasa rakyat masih pen­ting untuk mencapai sebuah kerajaan yang sepenuhnya demokratik, ini menga­gumkan.

Bagaimana pula pandangan anda dengan kerajaan baharu Malaysia termasuk kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Pada pandangan saya, setakat ini kerajaan baharu menunjukkan perkembangan yang baik. Sewaktu saya tinggalkan negara ini untuk menghabiskan cuti tahunan pada hujung Jun lalu, ke­rajaannya masih belum lengkap kerana hanya ada 13 kementerian sahaja yang sudah dilantik menterinya, Bagaimanapun apabila saya kembali, beberapa kementerian la­gi sudah mempunyai menterinya dan masing-masing sudah mula melaksanakan tugas mereka.

Kebanyakan menteri yang dilantik adalah muka baharu ke­cuali tiga orang yang pernah saya jumpa sebelum ini iaitu Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang merupakan juga Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Selangor selain Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas kapasitinya sebagai pemimpin pembangkang sebelum ini.

Bagi saya, Dr. Mahathir merupakan seorang legenda, ketika saya bertemunya di Pakistan pada 2000, beliau dilihat sebagai seorang pemimpin progresif bagi dunia Islam selain individu yang menekankan kemodenan dalam pembangunan. Dalam konteks Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), beliau juga dikagumi oleh ba­nyak negara Islam pada waktu itu.

Bagi saya, ini adalah satu penghormatan kerana berpeluang be­rada di sini untuk menyaksikan peristiwa bersejarah dalam peralihan kuasa di negara ini.

Bagaimana hubungan dua hala antara Malaysia dan Sweden?

Hubungan kedua-duanya ba­ik, seperti yang saya sebutkan tadi. Malah, Malaysia dan Sweden tidak mempunyai sebarang masalah dalam hubungan diplomatiknya.

Dari segi hubungan komersial atau perdagangan, lebih 90 syarikat Sweden menjalankan perniagaan di Malaysia dan kebanyakan telah lama bertapak di negara ini.

Sebenarnya, kereta pertama yang dihasilkan di Malaysia dan lebih dahulu berbanding Proton dan Perodua adalah Volvo. Volvo merupakan kereta Sweden yang dihasilkan di Malaysia sehinggalah ke hari ini di Shah Alam.

Saya bangga untuk menyata­kan di sini, sumbangan bersejarah syarikat Sweden ini melibatkan peranannya dalam pembangunan Malaysia, mempelbagaikan ekonomi negara ini selain memainkan peranan aktif membawa negara ini sebagai sebuah negara perindustrian.

Sehingga hari ini, pera­nan itu masih dilaksanakan oleh sya­rikat Sweden selain membe­ri­­kan penekanan kepada agen­­da kemampanan dalam ak­ti­viti ekonomi di negara ini.


Bagaimana hubungan ini boleh lagi dipertingkatkan?

Su­dah tentu menjadi hasrat seseorang diplomat adalah untuk mengeratkan hubungan di antara kedua-dua negara. Selepas ber­akhir tempoh khidmat saya di negara ini nanti, menjadi harapan saya agar hubungan Malaysia-Sweden akan lebih baik.

Saya berharap hubungan perdagangan antara kedua negara ini juga akan meningkat malah saya mahu melihat lebih banyak pelabur Malaysia di Sweden di mana setakat ini hanya ada empat pelaburan Malaysia di sana.

Tentunya kami mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia datang ke Sweden membina perniagaan mereka dan tidak hanya ke China, Vietnam, Jepun, Indonesia. Lihatlah juga Eropah dan Sweden sebagai destinasi baik untuk menjalankan perniagaan

Berapakah nilai perdagangan di antara Malaysia dan Sweden ketika ini dan apakah yang perlu Malaysia lakukan untuk menarik lebih banyak syarikat Sweden melabur di negara ini?

Nilai perdagangan terbaharu di antara Malaysia dan Sweden adalah dalam anggaran RM3.0 bi­lion setahun. Bagaimanapun, untuk mengukurnya, ia perlu dilihat kepada trend global ketika ini di mana sesuatu hubungan perdagangan sudah melangkaui garis sempadan masing-masing.

Ketika ini, lokasi produk itu dihasilkan sudah tidak lagi pen­ting, contohnya produk Sweden seperti Volvo dan perabot IKEA, meskipun buatan Sweden tetapi setiap komponennya diperoleh dari ratusan negara lain.

Kami juga juga mengimport banyak produk dari Malaysia antaranya komponen elektrik dan elektronik yang digunakan dalam penghasilan pelbagai produk lain di Sweden termasuklah kende­ra­an, pesawat pejuang dan produk kuasa elektrik.

Saya berpendapat bagi memastikan Malaysia kekal dapat menarik pelaburan asing, semuanya berkisar tentang tadbir urus yang baik, ketelusan dan pelaksanaan tender terbuka. Jika kerajaan baharu pada hari ini dapat meme­nuhi perkara-perkara tersebut, sa­ya yakin ekonomi Malaysia berpotensi menjadi lebih berdaya saing.

Selain hubungan ekonomi dan perdagangan di antara kedua-dua buah negara, apakah bidang lain yang dilihat berpotensi untuk di­teroka oleh Malaysia dan Sweden contohnya dalam bidang sukan dan pendidikan?

Sukan merupakan bidang yang dilihat sebagai berpotensi tetapi ia bukan tanggungjawab langsung kerajaan, ia le­bih kepada tugas persa­tuan sukan, kelab dan inisiatif masyarakat sendiri.

Kerjasama ini mungkin boleh dilaksanakan, contoh­nya de­ngan membawa pasukan bola­sepak Sweden ke negara ini atau sebalik­nya, seperti mana dilakukan syarikat Sweden seperti SKF yang menaja sebuah pasukan bolasepak sekolah untuk bertan­ding di satu kejohanan di negara kami.

Sweden merupakan sebuah negara yang kecil tetapi mempunyai tradisi yang hebat dalam bidang sukan dan saya lihat ini merupakan usaha terbaik dalam membina hubungan di antara rakyat kedua-dua buah negara.

Bidang lain adalah kerjasama daripada aspek budaya contohnya menerusi penganjuran pa­me­­ran seperti pameran rekaan dan fe­syen Sweden yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur pada Oktober nanti. 
Setiap tahun, kami juga mengambil bahagian dalam Festival Filem Eropah dan mungkin kami boleh membawa filem-filem Sweden kepada penonton di Malaysia.

Selain itu, Sweden amat memberi tumpuan dalam aspek per­ubahan iklim dan bagaimana ma­hu menanganinya selain ko­mitmen terhadap Perjanjian Iklim Paris 2015. Mungkin Malaysia dan Sweden boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran mengenainya terma­suk dalam mengurangkan kesan rumah hijau.

Kerjasama juga boleh dilakukan dalam aspek pe­ngurusan sisa ke­rana di Sweden kami sudah tidak mempunyai tapak pelupusan sisa tetapi Malaysia masih mempu­nyai banyak tapak pelupusan dan ini boleh membawa masalah serius kepada alam sekitar.

Apa harapan anda mengenai hubungan Malaysia dan Sweden pada masa akan datang?

Saya harapkan hubungan ke­dua-kedua negara ini akan bertambah baik walaupun dari segi budaya, cuaca, geografinya berbeza sama sekali tetapi mempunyai banyak hubungan perdaga­ngan.

Hubungan ini sudah tentu boleh dipertingkatkan lagi kelak dan saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat melihat Sweden sebagai sebuah destinasi tarikan untuk perniagaan, pendidikan dan juga pelancongan.

Begitu juga kepada rakyat Sweden untuk ke Malaysia bukan sahaja sebagai pelancong tetapi juga untuk menyambung pelajaran dan meluaskan pasaran perniagaan mereka.