Mengambil inspirasi itu, Kamarruzaman Abdul Jalil, 35, sebelum bergelar penternak, dia merupakan peniaga daging lembu yang ghairah berniaga dengan membuka banyak kedai tanpa mempunyai sumber atau bahan mentah.

Katanya, tindakan tersebut memberi kesan terhadap perniagaan dan kehidupannya sehingga diisytiharkan muflis pada usia muda.

“Pada usia muda, saya tidak mampu mengawal kewangan hasil perniagaan daging sehingga membawa kepada muflis.

“Daripada kesilapan itulah saya belajar dan menjadi seorang penternak dan dari situlah saya berjaya mengeluarkan diri daripada bankrap dan dapat membayar segala hutang,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Kamarruzzaman muncul sebagai pemenang utama Anugerah Agropreneur Muda Jaya Kebangsaan 2017 pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usahawan berasal dari Johor Bahru, Johor itu mengusahakan projek ternakan lembu fidlot, kelapa matag, ternakan ikan talapia, menjual daging dan kulit lembu, pisang, kelapa sawit dan lain-lain.

Selaku pemenang utama, Kamarruzaman membawa pulang wang tunai berjumlah RM60,000 berserta trofi dan sijil.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ayam Bismi Sdn. Bhd., Mazlina Kamarudin pula dipilih sebagai pemenang ANugerah Pemasar Tani Jaya.

Mazlina berkata, syarikat itu bermula pada 1988 dengan menjual ayam secara kecil-kecilan.

Katanya, sebelum menempa kejayaan, syarikat itu pernah berdepan penipuan oleh pelanggan sehingga RM500,000 yang membuatkan mereka hampir bankrap.

“Apabila menternak ayam kita rasakan pendapatan kita terjamin. Kita mengadakan pertanian kontrak dengan syarikat besar sehingga terfikir untuk berubah jualan kepada terus pelanggan kerana melihat isu jualan ayam halal adalah sangat kritikal.

“Berdasarkan kepada kepada konsep, ternakan, sembelihan dan edaran 100 peratus Muslim, kita menggagahkan diri melakukan pemasaran agar produk dikenali dan akhirnya menang anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE