Hadiah itu bukan sahaja membolehkan isterinya menggunakan kenderaan itu untuk berulang alik ke tempat kerja, malah lebih bermakna apabila dia dapat pulang menyambut Ramadan bersama ibu tercinta di Felda Keratong 3, di sini hari ini.

Nurulihsanuddin Ab. Hadi, 32, yang mengalami kecacatan di bahagian tangan dan kaki berkata, kepulangannya ke kampung bersama isteri, Noraini Abdullah, 31, menggembirakan ibunya, Jariah Mat Lazim, 54, kerana mereka dapat bersama-sama menyambut Ramadan yang masih berbaki lapan hari lagi.

“Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Kumpulan Utusan yang membolehkan saya memenangi Proton Iriz, jika tidak saya dan isteri pasti tidak berpeluang menyambut Ramadan di kampung.

“Kami bukan tidak mahu pulang, tetapi kereta kami rosak dan sudah dua bulan berada di bengkel. Kemenangan Proton Iriz me­rupakan satu rahmat besar kepada saya dan isteri,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumah ibunya di Felda Keratong 3, di sini hari ini.

Nurulihsanuddin merupakan antara 32 pembaca bertuah di­pilih sebagai pemenang bagi Peraduan #UMenangsakan Bonanza Edisi Pertama yang ber­akhir 2 Jun lalu.

Selain Proton Iriz sebagai hadiah utama, terdapat hadiah sam­pingan lain termasuk tiga buah televisyen jenama Pensonic 40 inci, tiga unit telefon pintar dan 25 utas jam tangan Ice Watch.

Peraduan #UMenangsakan Utu­san Malaysia dan Mingguan Ma­laysia (bulanan dan bonanza) yang pertama kali diadakan itu berlangsung sejak 1 Februari lalu sehingga Oktober ini.

Nurulihsanuddin berkata, sebelum ini dia dan isteri membuat perancangan awal untuk me­nyambut Ramadan kali ini di Felda Keratong 3 manakala Aidilfitri di kampung halaman Noraini di Pulau Langkawi, Kedah.

“Namun apakah daya, kereta yang kami gunakan sebelum ini rosak, namun Allah mengatur segala-galanya kerana kemenangan ini membolehkan kami mengikut perancangan asal,” katanya.

Sementara itu, Jariah yang merupakan ibu tunggal gembira anak sulung daripada lima beradik itu pulang menyambut Ramadan bersamanya.

“Sebelum ini dia tiada kereta untuk pulang, tetapi Alhamdulillah, setelah menang peraduan Kumpulan Utusan anak saya dapat pulang menyambut Ramadan di sini,” katanya terharu.