Firma e-dagang terbesar China itu berkata, Pengasas Bersama Ma akan terus menjadi pengerusi eksekutif syarikat berkenaan dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk memastikan peralihan lancar pengerusi kepada Zhang.

“Ma akan melengkapkan penggal semasa sebagai ahli lembaga pengarah Kumpulan Alibaba sehingga mesyuarat agung peme­gang saham tahunannya pada 2020.

“Beliau adalah rakan kongsi seumur hidup dalam Perkongsian Alibaba dan merupakan ahli jawatankuasa perkongsiannya,” kata Alibaba dalam satu kenyataan.

Perkongsian Alibaba kini terdiri daripada 36 rakan kongsi yang juga ahli pengurusan kanan Kumpulan Alibaba atau sekutunya.

Menurut artikel persatuan Kumpulan Alibaba, Perkongsian Alibaba mempunyai hak untuk mencalonkan majoriti ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

Misi Kumpulan Alibaba adalah untuk memudahkan perniagaan di mana sahaja dan syarikat itu me­nyasar untuk mencapai pertumbuhan yang mampan selama 102 tahun.

Untuk tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2018, syarikat berkenaan melaporkan pendapatan sebanyak AS$39.9 bilion. – BERNAMA