Tanpa perlu melalui prosedur yang rumit, DanaNITA boleh dimohon dengan mudah termasuklah dengan hanya mengisi borang berkaitan di pejabat MARA yang berhampiran seperti yang dilakukan usahawan makanan sejuk beku dari Gemas, Negeri Sembilan, Norfatin Zahari, 25.

Ujarnya, permintaan yang semakin meningkat terhadap produk makanan sejuk beku terutamanya ‘roti boom’ keluaran syarikatnya iaitu Megah Warisan SK sedikit sebanyak mendesak­nya untuk meningkatkan peralatan pengeluaran di kilangnya.

“Produk makanan sejuk beku terutamanya ‘roti boom’ semakin mendapat permintaan hingga kadang kala sukar untuk saya memenuhinya kerana tidak cukup peralatan di kilang seperti meja, mesin pengadun, peti sejuk beku dan chiller termasuk untuk tujuan pembungkusan.

“Sehubungan itu, baru-baru saya ini telah ke pejabat MARA di Tampin untuk memohon bantuan pembiayaan yang sesuai untuk perniagaan saya. Di situlah, pegawai MARA yang bertugas telah memperkenalkan DanaNITA yang sememangnya diwujudkan untuk membantu usahawan wanita se­perti saya,” katanya.

Tambah Norfatin, tanpa prosedur yang merumitkan, bantuan pembiayaan yang dipohonnya diluluskan tanpa mengambil masa yang lama.

“Cuma seperti keperluan se­suatu permohonan, kita mestilah menyediakan beberapa dokumen penting untuk dilampirkan seperti kertas cadangan dan pelan perniagaan syarikat yang menunjukkan kita serius untuk mengembangkan perniagaan.

“Permohonan bantuan pembiayaan saya diluluskan sebanyak RM40,000 dan jumlah tersebut sudah mencukupi untuk saya melengkapkan beberapa peralatan di kilang sekali gus membantu me­ningkatkan pengeluaran produk,” katanya.

Jelas Norfatin lagi, kini dia tidak perlu gusar untuk me­nerima dan memenuhi tempahan daripada pelanggan malah turut bersedia untuk menambah bila­ngan pekerja bagi operasi pengeluaran di kilang.

“Jika tanpa bantuan MARA menerusi DanaNITA tersebut, mungkin sehingga kini saya masih me­ngalami masalah untuk memenuhi permintaan pelanggan, namun kini Alhamdulillah produk makanan sejuk beku keluaran Megah Warisan SK semakin mendapat tempat di seluruh negara.

“Oleh itu, saya berharap le­bih ramai lagi usahawan wanita mengambil peluang yang ada ini untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan keluarga kerana DanaNITA sememangnya disediakan untuk mereka,” katanya yang telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak tahun 2013.

Sementara itu, usahawan butik pakaian, Siti Raha Yusof, 40, dari Kota Kinabalu, Sabah pula berkata, dia mengetahui adanya pembiayaan DanaNITA selepas merujuk kepada pegawai MARA yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah.

“Saya sebelum ini memang merupakan usahawan bimbingan MARA oleh itu saya sentiasa me­rujuk kepada pegawai-pegawai MARA sekiranya terdapat sebarang bantuan atau inisiatif yang disediakan MARA yang boleh membantu saya untuk mengembangkan perniagaan.

“Bila dimaklumkan MARA ada menyediakan pembiayaan khas untuk usahawan wanita, saya tidak tunggu lama untuk memohon kerana sememangnya ketika ini saya memerlukan sedikit modal untuk menyediakan rekaan pakaian khusus bagi memenuhi permintaan pelanggan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Jelas Siti Raha, Butik Redpurple miliknya yang terletak di 1Borneo Shopping Mall, Kota Kinabalu seringkali menjadi pilihan orang ramai untuk mendapatkan pakaian dengan rekaan eksklusif sempena musim perayaan.

“Pelanggan sentiasa mahukan rekaan pakaian yang eksklusif dan sedondon, oleh itu bagi memenuhi permintaan yang meningkat sudah tentu peralatan dan mesin jahit juga perlu ditambah.

‘‘Menerusi pembiayaan Dana­NITA yang diperoleh tersebut akan saya gunakan untuk pembelian mesin selain menambah stok dan koleksi pakaian siap,” katanya

Pengusaha spa dan salon kecantikan, Che Roazira Abdul Razak, 29, pula berkata, dia sudah memohon pembiayaan daripada pihak MARA sejak akhir tahun lepas, namun telah diminta untuk melengkapkan dokumen permohonan tersebut baru-baru ini.

“Pihak MARA di Seri Iskandar, Perak memaklumkan bahawa terdapat dana pembiayaan baharu yang disediakan MARA untuk membantu usahawan wanita seperti saya.

“Pegawai MARA yang bertugas banyak membantu bagi proses permohonan tersebut sehinggalah saya dihubungi baru-baru ini yang mengatakan permohonan pembiayaan DanaNITA saya tersebut diluluskan sebanyak RM10,000,” katanya.

Katanya, bantuan dana khas tersebut akan digunakannya untuk menambah stok produk spa dan kecantikan yang terdapat di premis perniagaannya yang dikenali sebagai Jelytazerra Salon & Spa yang beroperasi sejak lima bulan lepas.

“Sebelum ini, perkhidmatan spa saya lakukan hanya dari rumah ke rumah bergantung kepada permintaan pelanggan, namun sejak mula membuka kedai spa dan salon kecantikan tersebut, pelanggan semakin bertambah.

“Oleh itu, saya berhasrat untuk menggunakan sebahagian dana pembiayaan yang diterima bagi menambah baik premis perniagaan saya agar dapat memberikan lebih keselesaan kepada pelanggan,” katanya.

Selain itu, Che Roazira turut meminta supaya mana-mana usa­hawan wanita khususnya usahawan bumiputera yang menghadapi masalah modal bagi mengembangkan perniagaan supaya segera memohon bantuan daripada pihak MARA.

“Saya sangat bersyukur apabila MARA sudi membantu menerusi DanaNITA ini kerana tanpa bantuan tersebut sudah tentu sedikit sukar untuk perniagaan saya berkembang terutama dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” katanya.