Menurut sumber, Ambiga telah hadir ke pejabat SPRM Putrajaya semalam berhubung dakwaan tersebut. Bagaimanapun, tidak pasti sama ada pihak polis turut mengambil keterangan beliau.

“Rakaman keterangan Ambiga dilakukan berhubung dakwaan oleh Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown. Ambiga dilaporkan turut terlibat dalam isu dana tersebut selepas Rewcastle-Brown menamakan beliau sebagai sumber kepada artikel yang mendakwa pemimpin PAS menerima dana sebagai pertukaran sokongan mereka pada pilihan raya yang lalu,” tambah sumber itu.

Sumber memberitahu, Editor Sarawak Report mendedahkan maklumat tersebut sewaktu memfailkan pembelaan terhadap saman fitnah oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada Oktober 2017.

“Ini membuka ruang kepada PAS untuk menekan Ambiga untuk menjelaskan dakwaan Rewcastle-Brown. Bagaimanapun, Hadi bersetuju untuk selesaikan saman tersebut di luar mahkamah yang difailkan di London,” ujarnya.

Hari ini, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa telah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya dan Kelantan bagi membantu siasatan dakwaan itu yang dikatakan diterima semasa Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. - UTUSAN ONLINE