Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sepanjang tempoh sedekad sejak ditubuhkan, KWAP telah merekodkan pencapaian dan prestasi yang amat membanggakan dengan saiz dana meningkat 200 peratus daripada RM42 bilion pada tahun 2007 kepada RM125 bilion pada Disember tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, RM53.6 bilion adalah hasil daripada penjanaan pendapatan pelaburan yang seterusnya akan digunakan untuk membiayai liabiliti pencen.

“KWAP telah mencatat pulangan kasar purata pelaburan sebanyak 6.5 peratus dalam tempoh 10 tahun ini meskipun prospek global tidak menentu, dengan cabaran luaran dalam pelaburan dan iklim ekonomi dalam tahun-tahun kebelakangan ini, saya percaya KWAP akan terus menunjukkan prestasi kewangan yang positif lagi konsisten sepertimana yang telah dicapai setakat ini.

“Sesungguhnya KWAP akan terus melakar prestasi cemerlang sebagai organisasi berprestasi tinggi. Saya difahamkan KWAP yakin dengan pertumbuhan 8 hingga 10 peratus setahun, dana KWAP akan berjaya mencapai angka RM500 bilion pada tahun 2050. Saya percaya unjuran ini akan dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis sambutan ulang tahun KWAP ke-10 dan melancarkan aplikasi telefon mudah alih, MyPesara serta menandatangani plak bangunan Menara Integra, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE