Pada awalnya tidak ramai yang mempercayai be­rita kematian ini memandangkan pada Mac tahun lalu, Mr. Os pernah dikhabarkan sudah meninggal dunia dan ternyata itu adalah berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab pada ketika itu.

Bagaimanapun, setelah anak kandungnya sendiri membuat ke­nyataan di laman sosial mengenai berita sahih pemergian ayahnya, ramai rakan artis dan media mulai mempercayai berita tersebut.

Allahyarham Os atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Abdul Hamid, meninggal dunia di Hospital Sela­yang kira-kira pukul 2.50 petang ini, selepas menderita kanser paru-paru tahap empat.

Tiada siapa menyangka, pelawak yang pernah menghiburkan hari-hari duka kita menerusi sitkom se­rta lagu nyanyiannya seperti Santan Berlada dan Durian Dah Berbunga pergi buat selama-lamanya pada usia yang agak muda, 55 tahun.

Difitnah meninggal dunia pada 25 Mac tahun lalu, Mr. Os pada ketika itu tidak melenting dan memaafkan pesalah laku yang menyebarkan berita palsu tersebut.

“Saya ambil perkara itu dari sudut positif sahaja dan pada saya ia mengingatkan tentang kematian. Lagi pula saya beruntung orang ramai sedekahkan doa dan Al-Fatihah ketika masih hidup ini,” ujarnya kepada media, mengenai viral berita kematian palsunya.

Ini jelas membuktikan, pelawak yang sering tersenyum ini punya hati nurani yang cukup murni, sesuai dengan kerjayanya yang sering menyampaikan ‘kegembiraan’ kepada insan lain.

Bagi pelakon dan pelawak, Abon yang pernah sepentas dengan Allahyarham ketika sama-sama menyertai Maharaja Lawak 2011 dan berkongsi kenangan manis apabila berjaya memenangi tempat pertama dalam program tersebut.

“Saya memang terkejut, malah hampir tidak percaya. Tetapi oleh kerana anaknya sendiri, Husna Yusof yang telefon beberapa minit selepas kematian Mr. Os, saya baru percaya yang dia sudah pergi meninggalkan kita semua,” kata Abon.

Menyifatkan Mr. Os sebagai pelawak sejati, pelawat tersohor Sabri Yunus pula percaya, peribadi Mr. Os yang baik hati dan suka menghiburkan orang lain akan terus dikenang oleh generasi hari ini dan masa depan.

Salah seorang anak Allahyarham, Mohd. Hazwan, 25 memberitahu, bapanya sudah lama menghidap barah paru-paru, selain sakit jantung dan tonsil.

“Saya berhenti kerja lebih kurang dua bulan lalu untuk menjaga arwah ayah. Semuanya atas dasar tanggungjawab sebagai anak. Bagaimanapun saya sedih kerana hajat ayah untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup belum kesampaian kerana Allahyarham sudah meninggalkan kami semua,” katanya.

Mula menjejakkan kaki dalam industri seni lakonan menerusi filem Balik Kampung, Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak merupakan pelakon dan pelawak yang cukup disegani sejak usia sekitar awal 20-an.

Tanggal 1987 menjadi tahun keramat buat pelawak hebat ini apabila diberi peluang untuk menjadi teraju utama dalam filem yang menggunakan namanya sebagai tajuk, Mr. Os dan sejak dari itu, namanya tegar mewarnai kanvas seni lakon negara.

Malah, menerusi filem sama, Allahyarham mendapat penghargaan buat pertama kalinya apabila memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 1987 dan sepuluh tahun kemudian, sekali lagi memenangi anugerah sama menerusi lakonannya dalam Ghazal Untuk Rabiah bersama seniman Datuk Jamal Abdillah dan Wilma Mohammad pada 1997.

Pelawak ini juga pernah mengundurkan diri seketika daripada industri perfileman negara dan membawa diri sehingga menjadi pengusaha perkhidmatan teksi. Pada ketika itu dia kelihatan begitu tenang melewati musim-musim hayatnya sebagai pemandu teksi.

Hasil perkahwinan dengan dua isteri, Amimah Ariff dan Mak Yu (bukan nama sebenar), Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak dan dua orang cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata, Gombak. Dia pergi, sekali gus membawa bersama ketawanya yang terakhir itu. Al-Fatihah.