Baru-baru ini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Jabatan Pembangunan Wanita, Malaysian Buskers dan Kumpulan Utusan telah menganjurkan program dakwah kontemporari USIM Street Dakwah.

Program tersebut merupakan satu platform dalam penyampaian mesej secara santai dan menghiburkan dengan menggunakan beberapa elemen hiburan seperti persembahan muzik jalanan (busking), penyampaian mesej dan informasi secara lisan (motivasi dan puisi) dan banyak lagi bertempat di Ruang Legar Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Antara objektifnya adalah untuk menyediakan landasan kreatif kepada pelajar USIM dan rakan strategik bagi berinteraksi bersama masyarakat luar. Pada masa sama, program ini bertujuan menyampaikan dakwah dan mesej yang berguna kepada orang ramai secara santai melalui pendekatan seni dan muzik.

Tidak hanya itu, USIM Street Dakwah juga dilaksanakan bagi memberi informasi dan berkongsi maklumat tentang kesedaran masyarakat berkenaan isu semasa dan global.

Sebanyak lima kumpulan kesenian terlibat dalam menjayakan program tersebut. Antaranya, Siso Kopratasa, I’m Muzika, USIM Buskers, Perkusirama dan Akusukabuskers serta ramai lagi.

Selain persembahan nyanyian bertemakan seni muzik Islam yang diadakan secara percuma kepada pengunjung Pasar Seni, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas turut memeriahkan program dengan mendeklamasi sebuah puisi bertajuk Mencari Selesa hasil nukilan Tan Sri Syed Hamid Albar.

Menurut peneraju program, Mohd. Juhairee Mohd. Juhaidie Khan, USIM Street Dakwah mempunyai keunikan tersendiri kerana selain menyampaikan dakwah dan ilmu Islam, program tersebut turut membolehkan pengunjung berhibur.

“Ini adalah program yang melibatkan komuniti. Oleh yang demikian kenapa tidak kita selitkan elemen hiburan terkini yang boleh dikaitkan dengan konsep dakwah itu sendiri seperti busking, persembahan puisi dan sebagainya.

“Dengan cara ini, penyebaran dakwah itu akan lebih mudah dan menyeluruh. Golongan muda akan terpanggil untuk mengikuti program ini kerana tidak membosankan,” katanya.

Kemeriahan program tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran hampir 200 pengunjung di sekitar Ruang Legar Pasar Seni. Juhairee berkata, sokongan yang diberikan orang ramai menandakan penerimaan baik terhadap dakwah cara baharu yang diketengahkan.

“Acara yang bermula sekitar pukul 5 petang itu mendapat sambutan menggalakkan. Untuk mendapatkan maklum balas orang ramai tentang keberkesanan program ini, kami telah mengagihkan kad tiga warna iaitu kuning, merah dan hijau.

“Hampir 98 peratus pengunjung mengangkat kad berwarna hijau sebagai tanda penerimaan positif mereka terhadap setiap persembahan dan aktiviti yang dijalankan sempena program berlangsung,” ujarnya.

Apabila disoal tentang tindakan mereka memilih seni jalanan sebagai elemen utama bagi menyampaikan dakwah menerusi program tersebut, Juhairee berkata elemen hiburan seperti itu dekat dan diterima baik bukan sahaja golongan muda malah golongan berusia.

“Konsep ini santai dan boleh dikatakan dapat diterima semua golongan. Pada masa sama ia mengetengahkan elemen hiburan yang berpada-pada dan tidak keterlaluan. Tambah menarik apabila konsep dakwah itu tidak lari dan tetap dibawa dalam setiap persembahan baik busking mahupun deklamasi sajak dan puisi,” katanya lagi.

“Program ini tidak akan terhenti di sini. Ia akan diteruskan dan akan di bawa ke negeri lain pula. Pihak USIM bersama rakan strategik lain akan teruskan program ini dan kemungkinan besar akan dibawa ke negeri Kedah pula,” tambahnya. – Al-Faizal