Menurut sumber, pasukan penyiasat kini sedang mengumpul maklumat yang mencukupi bagi siasatan kes itu.

“Ini juga berdasarkan petunjuk yang diperoleh daripada pemberi maklumat yang mengetahui penglibatan hakim.

“Siasatan dijangka dimulakan pada minggu depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan beliau.

Menurut kenyataan itu, pertemuan tersebut berlangsung di Istana Keadilan pada Isnin lalu.

“Dalam pertemuan tersebut, tiada sebarang rakaman percakapan diambil oleh SPRM dan beliau telah mencadangkan agar satu pasukan petugas khas ditubuhkan ke arah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” katanya.

Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer mendakwa wujud campur tangan dalam kes-kes mahkamah termasuk melibatkan kes peguam terkenal, Karpal Singh yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Tuduhan terhadap badan kehakiman negara dinyatakan dalam afidavit sokongan setebal 65 muka surat.

Dakwaan Hakim Hamid Sultan itu dibuat dan dinyatakan dalam afidavit yang diikrarkan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sanggeet Kaur Deo.

Pada 14 Januari lalu, Sangeet yang juga peguam memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan juga kes guru tadika M. Indira Ghandi. - UTUSAN ONLINE