Difahamkan, ketiga-tiga ahli politik itu dari pelbagai parti politik termasuk Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut sumber, dua orang daripada mereka akan memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya manakala seorang lagi di Pejabat SPRM Kelantan. Kesemua ahli politik tersebut dipercayai pernah berkhidmat di sebuah negeri pantai timur

“Tiga ahli politik tersebut merupakan ahli politik serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pelbagai parti politik. Mereka dijangka hadir ke SPRM pada pukul 9 pagi esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan individu-individu berkaitan akan dipanggil serta beberapa dokumen diteliti SPRM berhubung dakwaan RM90 juta yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Menurut sumber, siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001,

SPRM dalam satu kenyataannya turut mengesahkan telah menerima laporan dan akan memulakan siasatan mengikut undang-undang yang diperuntukkan.

Pas turut mengumumkan pihaknya sedia menyerahkan semua dokumen kewangannya untuk membantu siasatan SPRM dan dokumen-dokumen itu akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata. - UTUSAN ONLINE