Tegas Hishammuddin, tuduhan yang dibuat oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengenai cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diluluskan Kabinet walaupun dibantah oleh beliau (Rafidah) itu adalah tidak berasas.

Beliau berkata, Rafidah membuat dakwaan itu melalui surat terbuka kepada Najib kerana tersalah tafsir mengenai isu tersebut.

“Dakwaan beliau (Rafidah) bahawa syarikat berkenaan membuat semua keputusan mengenai tanah ATM adalah tidak benar.Tuduhan bahawa projek pertanian komersial berskala besar dijalankan melibatkan tanah yang dimiliki oleh syarikat tiga individu terbabit juga tidak benar.

“Ini (cadangan) hanyalah per­bincangan antara saya dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada dua tahun lalu mengenai ‘food security’ (keselamatan makanan),” kata­nya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan program Jelajah Perkasa Perwira Kuching 1 Divisyen di Kem Muara Tuang di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ra­fidah menerusi surat terbuka kepada Najib yang menggunakan akaun Facebook Rafidah Aziz Malaysian Citizen untuk membuat beberapa dakwaan mengenai perbincangan Kabinet pada akhir tahun 2008.

Menurut akaun tersebut, Rafidah mendakwa pada akhir tahun itu, Najib yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan telah membawa cadangan pembangunan tanah ATM di seluruh negara dalam keadaan meragukan.

Rafidah mendakwa, Kabinet meluluskan cadangan tersebut walaupun beliau membantah.

Dalam surat terbuka itu, Rafidah turut mempertikaikan kenapa tanah terbabit tidak diswastakan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerana boleh bergabung dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai rekod prestasi yang baik.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebagai sebahagian daripada anggota Kabinet pada masa itu, Rafidah dilihat tidak bertanggungjawab apabila menyebarkan dakwaan yang tidak benar.

Terdahulu, beliau turut me­­­nyem­purnakan majlis pemakai­an pangkat Brigedier Jeneral Kehormat Askar Wataniah kepada Ke­tua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.