Menurut sumber, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak pukul 3.30 petang ini bagi dirakam percakapan berhubung isu tersebut.

“SPRM telah menerima laporan dari orang awam berhubung isu ra­suah bagi menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan SPRM memulakan siasatan dengan mengambil ketera­ngan Abdul Aziz hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Semalam, dalam sesi penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa Naib Pengerusi DAP Perak itu telah bertemu dengan lima orang ADUN UMNO bagi menarik empat lagi sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

Saarani mendakwa, pertemuan itu telah dilakukan di beberapa lokasi di dalam dan luar negeri berkenaan, antara 2 November hingga 1 Disember lalu dan beliau mengaku mempunyai kesemua akuan bersumpah mengenainya.

Bagaimanapun, Abdul Aziz menafikan tuduhan beliau merupakan individu yang mahu menjatuhkan Menteri Besar serta tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad itu merupakan gimik murahan dan tidak logik untuk dilaksanakan.