Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk pihaknya menyiasat dakwaan terhadap Ketua Polis Negara itu.

“Setakat ni, SPRM belum terima apa-apa lagi aduan, bagi saya, sesiapa pun berhak buat kenduri dan dia berhak memanggil sesiapa sahaja untuk hadir kenduri, dengan syarat duit yang digunakan adalah duit dia sendiri, bukan duit jabatan ataupun dapat tajaan daripada mana-mana pihak yang ada kepentingan dengan jabatan.

“Jadi setakat ini saya tidak terima apa-apa lagi tohmahan mengatakan Ketua Polis Negara terlibat melakukan salah guna kuasa atau rasuah berkaitan kenduri kahwin anak dia, melainkan kita dapat maklumat yang berasas untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Ketua Menteri, barisan Exco, Ex-Officio dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Negeri Melaka di sebuah hotel di sini hari ini.

Khamis lalu, portal Sarawak Report melaporkan Bukit Aman menghantar undangan kepada pengurusan tertinggi polis di sekitar Asia dan mendakwa undangan itu dihantar menerusi kiriman emel pada 6 April dengan tajuk Wedding Reception of the Honourable IGP’s Daughter (Majlis Resepsi Perkahwinan Anak Ketua Polis Negara) serta dimulakan dengan perkataan Greetings From The Royal Malaysia Police (Salam Daripada Polis Diraja Malaysia).

Laporan tersebut turut me­nunjukkan satu paparan skrin e-mel yang tertera ayat We will provide Business Class return tickets for the police chief and his spouse, as well as a night in the swanky hotel (Kami akan menyediakan tiket penerbangan pergi dan balik kepada ketua polis serta isteri selain penginapan di sebuah hotel mewah).

Sementara itu, berhubung dakwaan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mendesak SPRM menjawab dakwaan kononnya seorang pegawai kerajaan Gred 54 dilaporkan memiliki RM29 juta dalam akaunnya dilepaskan daripada sebarang pertuduhan, Mohd. Shukri memberitahu, beliau tidak tahu daripada mana pihak tertentu menerima maklumat pegawai terbabit mempunyai simpanan sejumlah yang dinyatakan.

“Saya dimaklumkan, pihak SPRM bekukan duit dalam akaun dia (pegawai terbabit) sebanyak RM300,000 sahaja lebih kurang. Isu RM29 juta saya tidak tahu d­aripada mana datangnya dan saya tidak pernah sesekali me­ngarahkan pegawai saya untuk menutup kes, saya tidak pernah berbuat sebegitu.” ujarnya.