Program dakwah yang bertemakan Transformasi Koperasi Ke Arah Kesejahteraan itu disertai oleh 11 pelajar dari beberapa sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah menengah agama (SMA) serta sekolah berasrama penuh (SBP) di sekitar Lembah Kelang.

Timbalan Pengarah SKM Ca­wangan Wilayah Persekutuan, Jamaliah Ismail berkata, penganjuran program seperti itu dianggap satu titik mula bagi SKM dan Koperasi TNB untuk memberi pemahaman tentang koperasi kepada masyarakat khususnya ge­nerasi muda.

“Mungkin sebelum ini pihak kami hanya memberi ceramah serta taklimat biasa tentang kepentingan koperasi kepada umum dan kesannya tidak sampai kepada mereka secara keseluruhan. Justeru, idea-idea daripada pegawai kami ini dijana sekali gus dijadikan program yang amat bermanfaat kepada masyarakat.

“SKM sebagai penyelaras program akan berusaha sedaya upaya mengetengahkan program Dai’ Junior Koperasi yang berkonsepkan pengisian nilai Islam ini ke peringkat negeri pada masa akan datang sekali gus membawa nama-nama peserta yang layak dari seluruh negara ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada kesemua peserta Dai’ Junior Koperasi di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Koperasi TNB, Raja Hang Tuah Raja Iskandar.

Sementara itu, Adham Shubli Mat Deris diumumkan sebagai Johan Dai’ Junior Koperasi 2017; Unfaton Aini Zul Arman naib johan dan Saiful Hadi Baharin mendapat tempat ketiga.

Ketiga-tiga pemenang membawa pulang wang tunai, trofi dan sijil manakala lapan peserta lain menerima hadiah saguhati.

Terdahulu, seramai 16 kanak-kanak berumur antara lapan hingga 12 tahun menyertai pertan­­dingan mewarna yang dianjurkan oleh Bank Rakyat.

Selain itu, mereka turut dihiburkan dengan persembahan ‘chicken dance’ oleh maskot bank berkenaan yang dikenali sebagai Nuri.