Sebaliknya, jelas Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden itu, tanah di Sendayan sudah tiada apa-apa isu lagi dan telah dise­lesaikan oleh kerajaan Negeri Sembilan semasa beliau menjadi Menteri Besar.

Tambah Mohamad lagi, isu berkenaan tanah di Sendayan sengaja ditimbulkan oleh parti lawan semata-mata kerana tempoh berkempen PRK Rantau sedang berlangsung serta hari pengundiannya bakal diadakan pada 13 April depan.

‘‘Isu tanah di Sendayan ini sudah tiada apa-apa lagi, semasa saya mula menjadi Menteri Besar pada 2004, saya berjanji kepada diri sendiri mahu menyelesaikan kemelut tanah di Felda Sendayan yang sudah bertahun-tahun sehingga penerokanya teraniaya.

‘‘Sehinggakan saya terfikir, kalau saya tak berjaya menyelesaikannya semasa penggal pertama menjadi Menteri Besar, saya takkan bertanding sebagai wakil rakyat dan tak mahu jadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa tu, itu janji saya,’’ katanya sewaktu berucap dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Senda­yan, malam semalam.

Mohamad yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau menambah, kemelut tanah Sendayan telah berjaya diselesaikan menerusi skim yang ditawarkan oleh kerajaan kepada penduduk yang terlibat.

‘‘Tidak timbul soal saya me­nipu orang Felda Sendayan, tak timbul soal kerajaan pada masa itu mengambil kesempatan terhadap orang Felda Sendayan. Syukur Alhamdulillah, Sendayan pada hari ini sudah dibangunkan.

‘‘Siapa sangka, Sendayan yang dulunya hanya hutan, kini sudah menjadi ‘Damansara’ Negeri Sembilan dan jika dite­ruskan projek pembangunan, Malaysia Vision Valley, Senda­yan akan tentunya lebih membangun,’’ katanya.