Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pada tahun ini, sebanyak 203 ekor lembu yang dianggarkan sebe­rat 30,000 kilogram daging, tulang dan bahagian lain dijual di 21 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional di seluruh negeri.

“Pada penganjuran festival yang memasuki tahun ketiga ini, kita menawarkan 203 ekor lembu dengan­ peruntukan seba­nyak RM675,000 daripada Kumpu­lan Ladang-ladang Perba­danan Kedah Sdn. Bhd. (KLPK).

“Daging lembu ini dijual pada harga RM24 sekilogram berbanding RM33 se­kilogram di pasaran. Pe­nganjuran festival ini bukan untuk mencari untung sebaliknya mahu membantu rakyat di negeri ini membuat persiapan Aidilfitri.

“Bagi membolehkan le­­­bih ramai rakyat di ne­geri ini mendapat faedah daripada peng­anjuran program ini, kita hadkan setiap orang hanya boleh membeli dua kilogram daging lembu namun pada masa sama, mereka juga boleh membeli tulang dan bahagian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Festival Daging Raya Aidilfitri: Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) 2017 di Taman Wira Mergong di sini.

Ahmad Bashah turut me­rasmikan program Gelombang Jualan Terus Ikan kepada Rakyat (Q’fish).

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran KLPK, Azizi Ahmad berkata, pihaknya turut menawarkan kira-kira 1,500 ekor itik yang juga dijual pada harga lebih murah berbanding di pasaran dalam penganjuran festival kali ini.

“Kita baru tujuh bulan menternak itik. Jadi, hari ini kita juga boleh menjual itik pada harga yang lebih murah iaitu RM7 sekilogram berbanding RM13 sekilogram di pasaran.

“Selain daging lembu, itik juga mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mana ke­semuanya habis dijual dalam tempoh kurang dua jam di seluruh negeri,” ujarnya.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), N. Hashim Ab. Rahman, pihaknya yang pertama kali menyertai festival tersebut menawarkan sebanyak 2.5 tan me­trik ikan segar sejuk beku di lima kawasan iaitu Alor Setar, Naka, Sungai Tiang, Tanjung Dawai dan Yan.

“Penyertaan kita dalam festival ini untuk mening­katkan kesedaran orang ramai tentang produk Q’fish yang menggunakan teknologi penyejukbekuan cepat individu (IQF). Walaupun ikan sejuk beku, namun kita menjamin kesegarannya.

“Untuk menarik minat orang ramai, kita bukan sahaja menjual murah iaitu ikan selayang pada harga RM6 sekilogram manakala kembung RM8 sekilogram berbanding harga biasa yang melebihi RM10.

“Malah, lebih istimewa, pada hari ini kita juga memberikan setengah kilogram ikan percuma bagi setiap belian satu kilogram,” katanya.