Ini menjadikan China sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia bagi sektor tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, daripada jumlah tersebut eksport agromakanan Malaysia ke China mencatatkan sebanyak RM2.36 bilion manakala import bernilai RM5.95 bilion.

Kata beliau, Malaysia mengeksport makanan yang diproses, bijirin, makanan laut, kopi, teh, koko dan rempah manakala negara juga mengimport produk seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bahan makanan yang diproses.

“China merupakan rakan dagangan Malaysia terpenting dalam industri agromakanan dan pertanian negara dan saya percaya melalui hubungan diplomatik yang rapat, perdagangan antara kedua-dua negara akan terus meningkat.

“Kita akan terus berunding bagi membolehkan lebih banyak produk pertanian dan agromakanan tempatan dapat dieksport ke negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berada di China sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Ekonomi.

Pada lawatan itu, Ahmad Shabery turut mengadakan pertemuan dengan Naib Menteri General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine (AQSIQ) China, Wu Qinhai.

Dalam pada itu menurut beliau, pasaran agromakanan China amat luas dan berpotensi untuk diterokai, namun walaupun pasarannya bersifat terbuka tetapi dilindungi dengan ‘tembok besar’ yang pintunya dikawal oleh AQSIQ.

“Seperti Malaysia, mereka (China) juga mempunyai prosedur yang ketat sebelum sebarang produk dapat dibawa masuk untuk menjaga kualiti dan keselamatan makanan rakyat mereka. Jadi, pertemuan seperti ini amat penting bagi mengekalkan hubungan baik agar kita dapat terus menerokai pasaran agromakanan China demi manfaat pengusaha kita di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ahmad Shabery mengucapkan terima kasih terhadap kelulusan AQSIQ untuk Malaysia mengeksport nanas ke China, malah kementerian sedang berbincang dengan AQSIQ bagi mendapatkan akses pasaran untuk dua lagi buah tempatan iaitu nangka dan durian.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, pihaknya turut membangkitkan isu sekatan sementara terhadap import sarang burung walet yang dikenakan oleh China berikutan penyakit selesema burung di Kelantan baru-baru ini.

“Pasukan AQSIQ kini berada di Malaysia untuk pemeriksaan dan dalam pertemuan itu saya telah meminta mereka untuk mempercepatkan proses terbabit. Kita optimis isu ini dapat diselesaikan segera dan membolehkan pengusaha kita mengeksport semula produk tersebut tidak lama lagi,” katanya.