Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 427 penanam durian di seluruh daerah ini dengan keluasan tanaman seluas 450 hektar yang mengeluarkan durian bernilai RM40.9 juta pada tahun lalu.

Tambah Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, pengeluaran durian dilihat boleh menjadi sebagai satu industri baharu dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber pendapatan negara serta mereka yang mengusahakannya.

Malah kata Tajuddin, dijangka beberapa tahun akan datang, penanaman durian bakal muncul sebagai nadi penggerak industri yang mampu menjana ekonomi negara.

“Kita percaya durian mampu menguntungkan mereka yang mengusahakannya di sepanjang rantai nilai (value chain), lagi-lagi Kampung Gajah memang dah terkenal dengan pengeluaran durian dan duriannya sudah ada ‘branding’.

“Selama ini kita tak eksploitasi lagi jenama tersebut. Namun kita akan lakukan kajian terperinci termasuk berapa banyak sebenarnya kawasan yang ditanam durian di sini serta sambutan masyarakat sebelum kita jadikan kawasan ini sebagai hab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Pemulihan Dusun Durian Daerah Perak Tengah, Jabatan Pertanian Negeri Perak di Dewan Serbaguna Kampung Pulau Tiga Kiri di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Norazmi Yahya.

Tambah Tajuddin, bagi me­rancakkan lagi industri durian di daerah ini, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan bantuan kepada 46 penanam durian menerusi program Pembangunan Kluster Durian dengan peruntukan RM506,066 bagi 2016 dan tahun lalu untuk meningkatkan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

Kata beliau, pada tahun ini pula, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan kepada negeri Perak sebanyak RM750,000 yang akan disalurkan kepada 202 penanam durian dengan keluasan tanaman 245 hektar.