Pola sedemikian menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dianggap membimbangkan lebih-lebih lagi membabitkan para pelajar yang direkodkan seramai 1,252 kes dalam tempoh Januari hingga April tahun ini. 

Katanya, masalah itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuklah melaksanakan satu kaedah yang dapat menanganinya termasuklah di kawasan-kawasan bandar seperti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR). 

“Saya dengan itu mencadangkan agar pencegahan dibuat di peringkat awal. Misalnya di bawah Program My Beautiful Neighborhood kita boleh mewujudkan rumah kaunseling untuk penduduk mengadu. 

“Masalah dadah yang dihadapi oleh penduduk sama ada di PPR mahu pun lain-lain kawasan boleh ditangani dengan adanya rumah kaunseling tersebut, “katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pendidikan Pencegahan Dadah Peringkat Negeri Selangor di Management & Science University (MSU) di sini hari ini. 

Yang hadir sama ialah Pengarah Pelajaran Selangor, Salleh Kassim dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK), Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin. 

Pada masa sama, Noh turut mencadangkan supaya pencegahan dadah dilakukan secara bersepadu secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan beberapa kementerian.

Katanya, Kementerian Pendidikan misalnya boleh mewujudkan sekolah dan asrama untuk anak-anak penagih dadah yang menjalani hukuman bagi memastikan masa depan anak-anak mereka lebih baik.

Sementara itu, Dr. Abd. Halim berkata, AADK turut mewujudkan buku panduan bertajuk Panduan Kaunseling Intervensi Murid Sekolah untuk diguna pakai di semua sekolah. 

“Dengan adanya buku panduan ini pihak sekolah dapat mengatasi masalah penagihan dadah yang dihadapi oleh pelajar dari peringkat awal dengan kaedah kaunseling, “ katanya. - UTUSAN ONLINE