Kemenangan ini membolehkan Hakim atau nama sebenarnya Muhammad Luqman Hakim Othman, 22, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000, trofi dan pakej Umrah untuk dua orang.

Tempat kedua dimenangi oleh Da’i Afiqah manakala Da’i Fahmi memperoleh tempat ketiga. Kedua-dua mereka menerima wang tunai RM5,000, trofi dan pakej pelayaran penyucian jiwa.

Pentas akhir Da’i Pendakwah Nusantara menyaksikan setiap peserta diberikan masa selama lima minit untuk melaksanakan tugasan pertama iaitu tema Masyarakat Kini. Manakala masa tiga minit untuk tugasan kedua bagi menjawab soalan spontan daripada juri profesional.

Sebanyak 70 peratus markah dari juri tetap iaitu Ustaz Zafiri Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail yang mengadili dari sudut isi hafazan sebanyak 35 peratus, manakala selebihnya menerusi personaliti serta gaya persembahan.

Manakala 20 peratus markah diberikan oleh Murabbi, Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali 10 peratus daripada juri awam yang dibarisi Norman Hakim, Amar Asyraf, Muhammad Zakaria (Penasihat Penerbitan Telaga Biru), Ustaz Ehsan Hosni (Imam Besar Majid Tuanku Mizan, Putrajaya), Ustaz Mohd. Naim Aziz, Datin Maziah, Memey Suhaiza, Erra Fazira, Liza Kool FM dan Fara Fauzana.

Tirai pentas akhir Da'i dibuka dengan persembahan lagu tema Lebaran Kejayaan oleh vokalis kumpulan Caliph Busker, Azmi Saat dan peserta-peserta Da'i musim ini diikuti dengan pengenalan tetamu nusantara, Naib Pengarah Pejabar Mufti Majlis Ugama Islam, Singapura, Ustaz Irwan Hadi.

Selain itu, penyanyi Black dan Rabbani turut membuat persembahan selingan dengan lagu Dalam Aku sebelum pengumuman pemenang. - UTUSAN ONLINE.