Program yang julung-julung kali diadakan anjuran Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia itu menyediakan barisan artis popular tempatan selain penganjuran beberapa pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan studio pameran dan fotografi bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland, Seow Cheng Swee berkata, pihak­nya menjangkakan kehadiran pengunjung adalah kira-kira 6,000 orang berdasarkan kepada cuti hujung minggu ini dan setakat ini, enam buah khemah disediakan untuk kemudahan pengunjung.

“Melaka Wonderland yakin program yang julung-julung kali diadakan ini mendapat sambutan pengunjung dan kami yakin kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Selain menyediakan pelbagai acara, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan konsert artis tempatan antaranya Sufian Suhaimi, Ani Maiyuni, Roslan Shah, Adzrin dan Zynakal,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Melaka Wonderland yang beroperasi sejak lapan tahun lalu turut menawarkan empat jenis aktiviti terbaharu di tasik bagi menarik lebih ramai pe­ngunjung, bermula Ogos lalu.

Empat tarikan itu adalah aktiviti memberi makan ikan dan arnab serta dua kegiatan kayuhan di atas tasik iaitu tube ride dan pedal boat yang beroperasi setiap hari di tasik taman tema tersebut dengan mengenakan bayaran berpatutan.

Menurut Cheng Swee, selain 10 jenis aktiviti gelongsor yang disediakan di taman tema itu, pihaknya cuba mempelbagaikan aktiviti untuk memberi kepuasan kepada pengunjung.

“Setakat ini, sambutan yang diterima daripada pengunjung cukup memberangsangkan di mana mereka boleh mencuba kegiatan di tasik ini yang kita perkenalkan selepas mengunjungi taman tema air Melaka Wonderland,” katanya.

Sementara itu pada program Sabtu ini, turut diadakan pertandingan mewarna sempena pelancaran wajah baharu Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di lokasi yang sama, bermula pukul 10 pagi.

Pertandingan tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu A untuk kanak-kanak berusia antara 7 dan 9 tahun, manakala B untuk mereka yang berusia antara 10 dan 12 tahun.

Hadiah yang ditawarkan adalah wang tunai RM100 untuk pemenang tempat pertama, diikuti RM75 dan RM50 kepada pemenang tempat kedua dan ketiga, manakala pemenang tempat keempat hingga ke-10 turut menerima produk eksklusif daripada Kumpulan Utusan.

Bayaran penyertaan yang dikenakan hanya RM3 seorang dan orang ramai yang berminat boleh mendaftar pada hari pertandingan bermula pukul 9 pagi dan penyertaan adalah terhad kepada 500 peserta sahaja.