Zulkifli Che Ain (kiri) dan Mohd. Nazir Mohd. Noor (kanan) melakukan kerja menoreh dan mengutip sekerap di kebun getah mereka di Kampung Charuk Bunting, Baling, semalam.

Penoreh getah, Zulkifli Che Ain, 57, berkata, harga getah beku sekadar RM1.95 sekilogram ketika ini menjadikan kehidupan penoreh sepertinya 'merana'.

“Macam mana kami nak hidup? Harga getah semakin murah manakala harga barang-barang keperluan sentiasa naik menyebabkan hidup kami semakin terhimpit.

“Sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, harga jualannya sekitar RM2.25 sekilogram dan selepas itu semakin turun sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Caruk Bunting di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam sebulan mereka hanya menoreh beberapa hari kerana keadaan cuaca dan hujan yang tidak menentu.

“Jika seminggu mempero­leh 100 kilogram, kami perlu membahaginya dengan pemilik kebun menjadikan pendapatan semakin berkurangan. Dalam sebulan saya hanya mendapat RM390 sahaja tetapi jika hari hujan, pendapatan saya tidak sampai RM200.

“Saya terpaksa juga melakukan kerja menoreh ini kerana hanya ini sumber pendapatan untuk menyara lima anak yang masih bersekolah,” katanya yang turut mengambil upah menanam sayur dengan bayaran RM15 sehari bagi menampung keperluan dan pendapatan mereka sekeluarga.

Seorang lagi penoreh getah, Mohd. Salleh Ramli, 54, pula berkata, pendapatan menoreh memang tidak mencukupi untuk menyara keluarganya.

“Harga keperluan seperti mi­nyak, ikan, petrol semakin naik dan membebankan kami yang bekerja sebagai penoreh getah.

“Saya mengharapkan kerajaan baharu dapat membantu kami yang susah ini tetapi mereka pun tidak dapat berbuat apa-apa menyebabkan hidup kami semakin terhimpit,” kata Mohd. Salleh.

Sementara itu, Mohd. Nazir Mohd. Noor, 40, bimbang sekiranya keadaan itu berterusan akan menyebabkan kehidupan golongan penoreh getah terus dihimpit kemiskinan.

“Kami merayu kerajaan menetapkan harga siling getah antara RM3.50 dan RM4 setiap kilogram,” katanya.