AZIH MUDA

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, setakat ini maklum balas daripada kerajaan tidak begitu memuaskan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan tuntutan pihaknya sebagai tidak sesuai selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Dalam masa sama, jelas beliau, kumpulan penjawat awam rendah terus bergelut untuk hidup kerana selain gaji pokok yang sememangnya rendah, kadar kenaikan gaji tahunan sebanyak RM80 setahun juga terlalu 'perlahan' dan tidak seimbang dengan kadar kenaikan kos sara hidup yang jauh lebih pantas.

“Sehari dua ini kita nampak kerajaan menyatakan masa tidak sesuai untuk kenaikan gaji. Soalnya bukan sesuai atau tidak kerana kalau nak kata tidak sesuai, sepanjang masa pun tidak sesuai. Kalau benar-benar mahu menjaga kepentingan penjawat awam rendah, kerajaan kenalah berusaha membantu mereka,” katanya.

“Kita bagaimanapun yakin 200 peratus bahawa Perdana Menteri sentiasa prihatin terhadap nasib golongan penjawat awam rendah ini. Sebab itu kita harap beliau dapat mengumumkan penambahbaikan 252 skim ini ketika sambutan Hari Pekerja di Kuching, Sarawak pada 1 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan penutupan Seminar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Kepenggunaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CUEPACS negeri, Aminuddin Awang.

Akhbar sebelum ini melaporkan tuntutan CUEPACS supaya kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35 peratus bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum selepas mendakwa gaji terendah yang diterima golongan itu, iaitu sebanyak RM805 sebulan tidak memadai dan di bawah paras kemiskinan.

Dalam perkembangan lain, Azih menggesa kerajaan supaya menarik semula cadangan untuk menamatkan perkhidmatan kira-kira 46,000 penjawat awam yang dilantik secara kontrak pada 31 Disember depan.

“Kita minta jasa baik Perdana Menteri supaya mempertimbangkan perkara ini kerana sebahagian besar daripada pekerja kontrak ini yang merupakan pemegang ijazah sudah mempunyai komitmen tersendiri termasuk sudah berkeluarga. Mereka pasti berdepan kesukaran untuk mencari kerja baharu,” katanya.