AZIH MUDA

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, sebanyak 231 jenis elaun yang diwujudkan untuk kakitangan awam sebelum ini antaranya sudah berbelas tahun tidak pernah disemak semula.

Beliau berkata, keperluan me­nyemak semula kadar elaun kakitangan awam penting memandang­kan golongan tersebut terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup tinggi khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar.

“Justeru, kami meminta supaya sebuah pasukan baharu (jawatankuasa) diwujudkan untuk memulakan kajian berkaitan dan ke­perluan elaun termasuk elaun yang sangat kritikal dikaji semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan CUEPACS peringkat negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CUEPACS negeri, Aminuddin Awang dan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Mengulas lanjut Azih berkata, setiap tiga tahun kerajaan perlu melakukan semakan terhadap gaji dan elaun kakitangan awam.

“Jadi kita hendak penggiliran semakan melibatkan gaji dan elaun kakitangan awam sentiasa diadakan khususnya ketika Malaysia sedang menuju negara maju empat tahun lagi.

“Kita takut bila melepasi tahun 2020 namun kakitangan awam masih di belakang sehingga hendak beli beras pun tidak mampu ekoran kekangan kos sara hidup tinggi,” katanya.

Sementara itu, Azih berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya kerajaan mengadakan perbincangan secara komprehensif dengan CUEPACS sekiranya berlaku kecacatan dalam penambahbaikan skim perkhidmatan awam.

“Kami minta supaya apa-apa perundingan melibatkan kakitangan awam harus melibatkan CUEPACS. Perkara itu penting untuk mewujudkan keharmonian dalam semua agensi kerajaan,” katanya.