Setiausaha Agungnya, Adnan Mat berkata, tiada arahan dikeluarkan pihak tertentu termasuk kerajaan mengarahkan penjawat awam terlibat dalam mana-mana himpunan yang diadakan itu.

"Kita tidak pernah mengeluarkan arahan dengan mengerahkan seramai 1.6 juta kakitangan awam bagi menyertai mana-mana himpunan baik himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 ataupun himpunan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

"Apa yang tersebar dalam media sosial menyatakan penjawat awam dikerah bagi menyertai himpunan Suhakam adalah rekaan pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini tular dalam media sosial mengenai kenyataan pihak tertentu yang menyatakan penjawat awam dikerahkan bagi menyertai himpunan Suhakam untuk menyaingi himpunan #DaulatHimpunan812. - UTUSAN ONLINE