Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ini kerana gaji jemaah menteri ketika ini tidaklah terlalu tinggi dan apabila ekonomi negara kembali pulih pendapatan mereka yang dipotong kerajaan wajar dikembalikan.

“Mungkin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasakan pada masa ini perlu ada pengorbanan daripada jemaah menteri untuk menyumbang kepada negara melalui pemotongan gaji sebanyak 10 peratus.

“Dengan penyusunan semula kementerian, bebanan menjadi agak berat dan jika dibandingkan negara maju lain, tidaklah tinggi sangat gaji menteri kita. Saya harap perkara seumpama ini bersifat sementara sahaja, jika ekonomi negara semakin pulih, gaji tersebut patut dikembalikan,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pertamanya hari ini, bersetuju agar gaji asas semua jemaah menteri dipotong sebanyak 10 peratus berkuat kuasa serta-merta.

Langkah tersebut diambil bagi membantu mengurangkan kos pentadbiran, pemotongan gaji itu bagaimanapun tidak melibatkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. - UTUSAN ONLINE