Azih Muda

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kadar elaun berkenaan sudah tidak lagi relevan dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan yang terpaksa ditanggung oleh kakitangan awam, terutama yang menetap di bandar-bandar besar.

“Kajian ini perlu dilakukan dengan segera kerana kerajaan perlu mengambil kira keperluan mendesak yang dihadapi oleh penjawat awam.

“Kenaikan kos sara hidup benar-benar mem­bebankan terutama bagi mereka yang tinggal di bandar besar. Kenaikan gaji atau elaun ini amat penting bagi kelangsungan hidup,” katanya kepada pemberita selepas meng­hadiri Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2015 di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman.

Menurut Azih, antara elaun yang perlu dikaji semula adalah elaun perumahan, elaun khidmat awam, elaun sara hidup (COLA), elaun perjalanan, elaun hotel serta elaun wilayah untuk mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“CUEPACS sangat berharap menjelang sambutan Hari Pe­ker­ja Peringkat Ke­bangsaan 2015 di Sa­rawak, Jumaat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat mengumumkan ke­putusan mengenai permintaan dikemukakan CUEPACS sebelum ini termasuk isu kadar elaun dan kenaikan gaji,” jelasnya.