Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda menegaskan, pihaknya pada masa sama turut mendesak KWSP segera menghentikan kaji selidik dalam talian melalui i-Akaun yang dilaksanakannya ketika ini.

Sebaliknya, kata beliau, KWSP perlu menggantikan kaji selidik tersebut dengan menubuhkan majlis rundingan bersama membabitkan wakil daripada majikan, pekerja dan pihak berkaitan untuk membincangkan semua perkara itu.

Katanya, perkara itu berikutan ketika ini bukan semua ahli KWSP mempunyai akses internet bagi menjawab dan mengundi kaji selidik yang dijalankan secara dalam talian sepenuhnya itu.

“Jika KWSP masih tetap ingin melak­sanakan empat inisiatif ini, ia akan memberi tekanan kepada pekerja yang hari ini terpaksa bergelut dengan pelbagai isu ekonomi seperti kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jadi, kita berharap KWSP dapat menghentikan segera tindakan mereka itu kerana sistem sedia ada ketika ini sebenarnya dianggap sudah baik dan diterima semua pihak,” katanya kepada pemberita di Wisma CUEPACS di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Mengulas lanjut, Azih menam­bah, tindakan KWSP itu juga di­khua­tiri akan memberi tekanan ba­haru kepada pihak kerajaan dan seterusnya mengheret mereka ke kancah isu berkenaan.

Walau bagaimanapun, menurutnya, CUEPACS bersetuju cadangan KWSP memperkenalkan dana patuh syariah sepenuhnya untuk pencarum namun dengan syarat pembayaran dividen yang akan diberikan adalah setanding dana konvensional.

“Kita tidak mahu nanti dengar alasan dividen untuk dana syariah kecil kerana keuntungan yang sedikit berikutan peluang perniagaan serta pelaburan yang terhad.

“Ini kita tidak setuju. Kita mahu biar adil sama ada konvensional atau patuh syariah supaya faedah yang akan diterima oleh pencarum selepas mencapai umur 55 tahun nanti adalah sama,” jelasnya.

Sementara itu, Azih berkata, CUEPACS berasa kesal apabila dimaklumkan bahawa seramai 18,000 pekerja kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan disambung perkhidmatan mereka secara kontrak setahun sekali bermula tahun ini.

Tambahnya, sebelum ini, semua pekerja berkenaan disambung kontrak setiap dua tahun namun begitu, kaedah baharu tersebut menggusarkan mereka kerana bimbang akan dihentikan pada bila-bila masa.

“Kita meminta kerajaan kaji semula mengenai perkara ini dan mahu sekurang-kurangnya penyambungan kontrak mereka dilakukan setiap tiga tahun, bukannya setahun,” katanya.