Azih Muda

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, penubuhan suruhanjaya itu dilihat tidak rasional kerana dikhuatiri tidak dapat membantu kenaikan pangkat disebabkan tiada sumber kewangan yang kukuh, malah tidak relevan dilaksanakan pada masa ini.

Menurut beliau, penubuhannya juga dibimbangi akan mengganggu prestasi kerja penjawat awam dan meningkatkan kemurungan.

"Sekiranya kerajaan negeri berhasrat menubuhkan SPBT sendiri dengan membelakangkan Akta 171, perkara ini adalah bercanggah dengan undang-undang dalam negara. Oleh itu, kami ingin tegaskan bahawa CUEPACS membantah cadangan negeri itu. Kami menganggap cadangan tersebut sebagai satu diskriminasi ke atas kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, kami juga menjelaskan bahawa terdapat banyak perundangan lain yang mempunyai kaitan dengan pemakaian Akta 171 bagi PBT sama ada dari segi bilangan kakitangan perjawatannya, bajet dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Cadangan berkenaan dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd. Latif Bandi pada 22 Februari lalu yang mana masih dalam peringkat merangka.

Azih menambah, Seksyen 16 dalam Akta 171 menyatakan satu senarai perlu dibuat dan dikemukakan kepada PBT ne­geri bagi tujuan pemberitahuan terhadap mana-mana cadangan yang dibuat untuk mengisi kekosongan atau memohon perjawatan baharu.

“Jadi, hari ini kita anggap kalau tindakan hendak menubuhkan suruhanjaya itu adalah bercanggah, maka perlu hapuskan akta itu dahulu kerana ia terpakai di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

Jelasnya, jika cadangan tersebut diteruskan, kira-kira 5,000 penjawat awam melibatkan 16 PBT di Johor akan menerima kesannya.