Sehu­bu­ngan itu, be­kas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah menggesa seluruh alumni dan mahasiswa UiTM serta orang Melayu untuk menentang tuntutan tersebut.

“Suasana Malaysia pada masa ini menjadikan kumpulan majoriti akan dibuli dan dizalimi haknya tanpa segan silu oleh kumpulan minoriti.

“Bukan sahaja warga UiTM malah orang Melayu kena bangkit, satu persatu hak kita diambil, apa yang tinggal pada kita akhirnya nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Hindraf menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) de­ngan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

Menurut Ibrahim kerajaan Pakatan Harapan mesti bertindak tegas dengan tidak melayan sebarang tuntutan seperti yang disuarakan Hindraf.

“Tuntutan ini hanya permulaan, tidak mustahil selepas ini ada lagi tuntutan lain yang mempersoalkan hak istimewa orang Melayu dan juga institusi raja-raja Melayu,” katanya.

Ibrahim menambah, orang Me­layu bukan merupakan kaum yang tamak tetapi apa yang dipertahankan itu merupakan hak-hak dan keistimewaan mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hak-hak orang Melayu yang termaktub dan dipersetujui di dalam Perlembagaan Persekutuan jangan diungkit malah banyak lagi universiti yang membuka peluang mereka kepada semua kaum di negara ini, kenapa UiTM juga ingin disentuh,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said menerusi Twitter berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) membantah tuntutan Hindraf yang mendesak kemasukan UiTM dibuka kepada semua kaum.