Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan terdapat lebih 60 kes kematian di tapak pembinaan aki­bat kecuaian dan kegagalan mematuhi standard sepanjang tahun ini.

“Kementerian mengingatkan ke­pada semua ahli pengurusan, walaupun tidak banyak kes diambil tindakan di bawah OSHA, mereka perlu sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan bagi membantu mengelakkan kemala­ngan di tapak pembinaan.

“Tindakan mahkamah atau pe­nalti yang dikenakan adalah langkah terakhir kerana kita mahu memupuk kesedaran berkenaan pentingnya membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan tapak Pusat Latihan Projek MRT Lembah Klang (KVMRT), di sini hari ini.

Pusat latihan itu dibina di kawasan seluas 1.09 hektar di Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini dengan kelengkapan tujuh bilik kuliah yang mampu memuatkan kira-kira 500 peserta.

Sempena lawatan tapak itu, memorandum persefahaman (MoU) antara Projek Sistem Transit Aliran Massa (MRT) dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) turut ditandatangani.

MoU yang dimeterai itu merupakan salah satu inisiatif baharu dalam meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerja, meningkatkan tahap kesedaran dan memba­ngunkan kemahiran serta kecekapan dalam aktiviti-aktiviti yang berisiko tinggi.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar; MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn. Bhd. oleh Pengarahnya, Datuk Azmi Mat Nor, manakala CIDB Holdings Sdn. Bhd. diwakili Ketua Eksekutifnya, Abd. Latif Hitam dan Niosh oleh Pengarah Eksekutifnya, Ir Rosli Hussin.

Mengulas lanjut mengenai usa­ha menangani isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Fadillah berkata, kerajaan sentiasa komited terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Jelasnya, antara langkah kerajaan ialah dengan melaksanakan Program Transformasi Industri Pembinaan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 September lalu yang mahu mentransformasikan sektor pembinaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Program ini memberi penekanan kepada strategi dan inisiatif untuk mengubah industri pembinaan dari segi peningkatan kualiti, kesihatan dan keselamatan, profesionalisme, kemampanan alam sekitar, produktiviti, penggunaan teknologi dan pengantarabangsaan secara menyeluruh.

“Kita juga mahu syarikat-syarikat atau rakan penggiat industri bekerjasama dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan serta memberi latihan, perundingan dan perkhidmatan maklumat mengenai kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP),” katanya.