CTU merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) dengan kerjasama MEASAT Global Berhad untuk memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menikmati faedah perkhidmatan jalur lebar atau akses internet secara percuma.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun, usaha tersebut merupakan inisiatif baharu kerajaan bagi memudahkan jaringan komunikasi terutama generasi muda mencari ruang dan peluang informasi.

“Program diterajui KKM itu mempunyai dua bidang utama iaitu melibatkan pendigitalan dan kemasyarakatan. Sekarang kita sudah memasuki era berhubung di dalam alam maya maka pelbagai pelaksanaan dibuat kepada rakyat dapat disampaikan dengan mudah serta cepat melalui cara ini.

“Media sosial yang ada sekarang cukup hebat, kita dapat lihat intipati di dalam media sosial hari ini mampu mencetuskan peperangan minda di alam maya,” kata beliau.

Beliau berkata ketika merasmikan CTU WiFi Setempat @Salong sempena Program Negaraku: Komuniti 1Malaysia di Dewan Mempalas, Kampung Baru Salong di sini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Abu Bakar berkata, dengan adanya pusat WiFi Setempat yang memberi kemudahan seperti internet 1Malaysia secara tidak langsung mampu memupuk semangat perpaduan dalam satu kawasan.

“Penduduk kampung memberi sambutan yang amat menggalakkan kepada kemudahan ini dan saya harap ia diperluaskan ke seluruh kawasan ini terutama di Paloh Hinai dan Felda Chini,” jelasnya.