Selain kaki kiri terpaksa dipotong, Shaaban yang menunggang motosikal ketika kejadian kini tidak dapat menggunakan tangan kiri buat sementara waktu selepas parah dalam kemalangan berhampiran susur keluar Ra­wang Selatan di Lebuh Raya Utara-Selatan itu.

Menurut Perdana Menteri, pengalaman yang ada pada bapa kepada dua orang anak itu seharusnya tidak disia-siakan ke­rana boleh dimanfaatkan untuk membantu sukan golf tempatan.

“Saya yakin dengan semangat Shaaban dalam menghadapi kesulitan ini selain berharap dia akan mencapai kejayaan dalam karier baharu selepas ini, mungkin menjadi seorang jurulatih atau membuka akademi latihan sukan golf.

“Saya berharap apa yang dila­lui saudara Shaaban ini akan menjadi inspirasi kepada semua rakyat, khususnya generasi muda. Mungkin saudara Shaaban boleh membantu pembangunan sukan golf di negara ini pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan tengah hari selepas menyertai Kejohanan Golf Amal Shaaban Hussin anjuran DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) di Glenmarie Golf & Country Club di sini hari ini.

Yang hadir sama dalam kejohanan golf amal yang diilhamkan sendiri oleh Najib itu ialah Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar dan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menyatakan penghargaannya kepada semua pihak yang menyertai kejohanan golf amal tersebut hingga berjaya mencatatkan kutipan RM407,000 untuk membantu Shaaban.

Malah, beliau sendiri turut meng­umumkan tambahan dana sebanyak RM93,000 daripada kerajaan menjadikan kutipan keseluruhan dana berjumlah RM500,000.

Sementara itu, Shaaban yang berkerusi roda ditemani isteri, Norazlina Nasruddin, 31 dan dua anaknya, Danish Irfan, 5, dan Aqil Fahmi, 3, ketika ditemui menyatakan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin terhadap nasib menimpanya.

“Setakat ini keadaan kesihatan saya hampir 75 peratus pulih dan masih menunggu untuk mendapatkan kaki palsu. Pada masa sama, saya juga menjalani rawatan saraf susulan daripada kea­daan tangan kiri ini,” katanya.