Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, semangat dan keberanian Allahyarham sewajarnya dicontohi oleh anggota polis hari ini.

“Allahyarham merupakan lambang keberanian anggota pasukan keselamatan yang berkhidmat mempertahankan negara,” katanya.

Beliau ditemui ketika menziarahi keluarga Sariah di sini hari ini.

Turut hadir menziarah dan memberikan penghormatan terakhir ialah anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Tembak di sini pada pukul kira-kira 10.30 pagi tadi.

Terdahulu jenazah disembahyangkan di Surau Sri Taman Cicely sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sariah meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Taman Cicely di sini pada pukul 2.10 petang semalam.

Allahyarham merupakan anak bongsu daripada lima beradik berasal dari Jalan Sulaiman, Muar, Johor merupakan seorang daripada 64 wanita kumpulan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita yang ditubuhkan setahun sebelum kemerdekaan negara.

Dia menyertai pasukan keselamatan tersebut pada 1 Julai 1956 dan bersara pada tahun 1982. - UTUSAN ONLINE