Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, tanggungjawab
menjaga khazanah negara khususnya kawasan pelancongan perlu dilaksanakan semua pihak.

"Jangan hanya mengecam tapi rakyat perlu mengambil tauladan daripada sikap pelancong asing itu dalam menjaga kebersihan.

"Kebersihan tanggungjawab kita bersama dengan menjaga khazanah negara sebaik- baiknya untuk generasi yang akan datang," katanya ketika dihubungi di sini
hari ini.

Nolee Ashilin mengulas seorang pelancong asing yang dikatakan bernama Tim Campbell mengutip sampah dan membersihkan kawasan Air Terjun Pecah Batu
di Trong yang tular di laman sosial hari ini.

Rata-rata netizen mengecam sikap orang ramai yang membuang sampah di kawasan itu.

Menurut Nolee Ashilin, kerajaan negeri telah menganjurkan kempen Perak Yang Bersih untuk membetulkan sikap negatif masyarakat umum yang membuang sampah merata-rata.

"Ini antara usaha kita dalam mendidik masyarakat supaya menjaga kebersihan kawasan persekitaran mereka,'' katanya. - UTUSAN ONLINE